Pendakwah bebas terkenal, Ustaz Wadi Annuar dilaporkan berada dalam keadaan stabil susulan terlibat dalam kemalangan berhampiran kawasan Air Banun, Tasik Banding ketika dalam perjalanan ke Gerik awal pagi tadi.
Dalam satu hantaran terbaharu di Facebook beliau, pihaknya memaklumkan bahawa Ustaz Wadi hanya mengalami kecederaan ringan.
Susulan itu, pihaknya meminta orang ramai memberikan ruang kepada Ustaz Wadi untuk berehat.
Ustaz Wadi Annuar Stabil

Pada masa yang sama, pihaknya turut memaklumkan bahawa Ustaz Wadi masih belum menerima kunjungan daripada sesiapa.
“Alhamdulillah, Ustaz Wadi Annuar kini berada dalam keadaan stabil dan mengalami kecederaan ringan.
“Kami memohon jasa baik semua agar memberikan ruang kepada beliau untuk berehat. Buat sementara waktu, beliau belum menerima kunjungan ziarah.
“Terima kasih atas doa dan keprihatinan semua. Semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan serta mempermudah segala urusan beliau dan semua yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menitipkan doa buat Ustaz Wadi agar beliau segera pulih dan dapat meneruskan usaha dakwahnya.
Sama-sama kita mendoakan agar Ustaz Wadi dan semua yang terlibat diberikan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan.


