Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

SPR Terima Pemakluman Pembubaran DUN Melaka, Mesyuarat Khas PRN Akan Diadakan

PEMAKLUMAN
Kredit: Bernama

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi menerima pemakluman berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 dan akan mengadakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pemakluman itu diterima daripada Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum menerusi surat bertarikh 22 September 2026.

Menurutnya, pembubaran DUN Melaka Ke-15 akan berkuat kuasa pada 23 September 2026, selaras dengan Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.

“Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN tersebut.

“Sehubungan itu, satu Mesyuarat Khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting untuk Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka Ke-16 akan diadakan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pembubaran DUN Melaka itu sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan PRN Ke-16, dengan Perlembagaan Negeri Melaka menetapkan pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.

Jelasnya, tarikh mesyuarat khas SPR bagi menentukan tarikh-tarikh penting pilihan raya berkenaan akan diumumkan kemudian.

Antara perkara yang bakal ditentukan SPR termasuk tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi.

Intipati
  • SPR menerima pemakluman pembubaran DUN Melaka Ke-15 daripada Speaker Datuk Ibrahim Durum.
  • Pembubaran DUN Melaka Ke-15 akan berkuat kuasa pada 23 September 2026.
  • Mesyuarat khas SPR akan menetapkan tarikh penting PRU DUN Melaka Ke-16.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan