Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Saya Jadi MB 6 Tahun, 3 Hari Ini Tidur Terganggu” – Sanusi Mohon Khilaf Jika Ada Kekurangan Sepanjang Pimpin Kedah

MB
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memohon keampunan atas segala kekurangan sepanjang enam tahun menerajui pentadbiran negeri, khususnya dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.

Sanusi berkata, dunia, teknologi dan pemikiran rakyat sentiasa berubah, justeru cara kerajaan bekerja juga perlu disesuaikan dengan perkembangan semasa.

“ Kita tidak boleh mentadbir kerajaan hari esok dengan cara kerja semalam. Dunia berubah. Teknologi juga berubah. Kepala rakyat berubah. Maka kita juga mesti berubah,” katanya dalam satu ucapan menerusi hantaran video di Facebooknya malam ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan satu perkara yang tidak pernah berubah dalam pentadbiran iaitu amanah.

Menurutnya, meskipun sistem, teknologi dan cara bekerja boleh berubah, amanah dalam menguruskan rakyat tetap perlu dipelihara, terutama melibatkan golongan yang paling memerlukan.

“Cara bekerja boleh berubah. Sistem boleh berubah. Teknologi berubah. Tetapi amanah tetap amanah.

“Terutama dalam menguruskan rakyat yang paling memerlukan. Orang miskin, anak yatim, orang sakit terlantar, warga emas dan yang hidup melarat.

“Mereka adalah amanah Allah untuk kita uruskan dengan cekap dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Sanusi berkata, sepanjang enam tahun menjadi Menteri Besar, isu kesusahan rakyat termasuk kemiskinan dan kebajikan anak yatim antara perkara yang sering ditekankan dalam ucapan serta pentadbirannya.

Jelasnya, sebahagian usaha membantu golongan berkenaan telah dilaksanakan, namun masih terdapat perkara yang belum dapat diselesaikan sepenuhnya.

“Tentang kesusahan orang-orang miskin, kesukaran anak-anak yatim untuk meneruskan pendidikan. Sebahagiannya telah selesai, tapi tidak selesai sepenuhnya,” katanya.

Menurut Sanusi, tanggungjawab sebagai Menteri Besar merangkumi hampir keseluruhan perkara yang berlaku dalam negeri, sekali gus menuntut komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan rakyat diberi perhatian.

“Kerja MB ini merangkumi seluruh apa saja yang terjadi di negeri ini. Dia terangkum dalam tanggungjawab saya,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi memohon keampunan atas segala kekurangan sepanjang tempoh enam tahun berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat.

“Moga Allah mengampunkan dosa atas segala kekurangan kami sepanjang enam tahun berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat, khususnya anak yatim, keluarga miskin dan mereka yang dalam kesusahan.

“Jika masih ada yang tercicir atau belum dibantu, kami akan berusaha menunaikan amanah sebaik mungkin agar tiada siapa berasa sendirian,” katanya.

Sumber:Sanusi
Intipati
  • Sanusi memohon keampunan atas kekurangan sepanjang enam tahun memimpin pentadbiran negeri Kedah.
  • Beliau berkata kerajaan perlu menyesuaikan cara bekerja dengan perubahan dunia, teknologi dan rakyat.
  • Sanusi menegaskan usaha membantu rakyat susah masih diteruskan agar tiada pihak tercicir.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan