Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Anwar Sambut Baik Kerjasama Bank Rakyat Dengan Alibaba Cloud, Lenovo

ALIBABA
Kredit: Facebook Anwar Ibrahim

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik usaha transformasi digital Bank Rakyat menerusi penerokaan kerjasama strategik bersama dua gergasi teknologi China, Alibaba Cloud dan Lenovo.

Anwar berkata, beliau menyertai sesi libat urus strategik antara Bank Rakyat dengan kedua-dua syarikat berkenaan sebaik tiba di Shanghai.

Menurut beliau, perbincangan itu antara lain meneroka potensi kerjasama dalam bidang teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) serta teknologi kewangan (fintech).

“Saya menyambut baik ikhtiar transformasi serta komitmen Bank Rakyat dalam memperkukuh keupayaan digitalnya menerusi usaha meneroka peluang kerjasama yang lebih luas merentasi pelbagai lapangan perniagaan Alibaba.

“Saya turut mengalu-alukan penglibatan Lenovo sebagai rakan ekosistem dalam Hab Komuniti Fintech Bank Rakyat,” katanya.

Jelasnya, sinergi strategik berkenaan berpotensi membuka ruang perkongsian teknologi, kepakaran dan pengalaman antara pihak terbabit.

Menurut Anwar, kerjasama itu juga mampu memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), gerakan koperasi serta usahawan tempatan, selain memacu penyampaian perkhidmatan digital yang lebih cekap, inklusif dan berkualiti.

“Matlamat kita jelas bahawa setiap kerjasama strategik yang dibina harus membawa limpahan nilai kepada ekonomi negara, meningkatkan daya saing Malaysia dan, akhirnya, yang paling utama adalah memberi serta menjamin manfaat yang bermakna kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, usaha meneroka kerjasama strategik bersama pemain teknologi global perlu terus diperkukuh bagi memastikan manfaat transformasi digital dapat dirasai secara lebih meluas oleh sektor perniagaan dan rakyat.

Intipati
  • Anwar menyambut baik usaha transformasi digital Bank Rakyat bersama Alibaba Cloud dan Lenovo.
  • Perbincangan di Shanghai meneroka kerjasama dalam teknologi digital, kecerdasan buatan dan fintech.
  • Kerjasama itu berpotensi memperkasa PMKS, koperasi, usahawan tempatan dan perkhidmatan digital.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan