Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

SPRM Sahkan Muhyiddin Ditahan, Didakwa Di Mahkamah Kuala Lumpur Esok

muhyiddin ditahan didakwa mahkamah
Kredit: BERNAMA

SPRM Sahkan Muhyiddin Ditahan, Didakwa Di Mahkamah Kuala Lumpur Esok

PUTRAJAYA, 9 Mac (Bernama) — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ditahan dan akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, esok.

Suruhanjaya itu berkata Muhyiddin ditahan pada 1 tengah hari tadi selepas hadir untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan di ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Menurut SPRM dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya telah mendapat izin untuk mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu daripada Pejabat Peguam Negara.

SPRM memaklumkan Muhyiddin bakal menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

SPRM sebelum ini telah membekukan akaun parti Bersatu dan beberapa individu termasuk Ketua Penerangan parti itu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, didakwa di mahkamah berkaitan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa esok.

Bercakap kepada Bernama, Azam berkata ketika ini bekas perdana menteri berkenaan masih lagi sedang diambil keterangan, selepas Pengerusi Perikatan Nasional itu tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini, pada 11.15 pagi tadi.

‘Berita saya ditahan di padang golf adalah palsu’ – Muhyiddin

Sebelum ini, media melaporkan berita tular yang mendakwa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika bermain golf adalah palsu.

Muhyiddin menegaskan penafian sedemikian menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasminya sebentar tadi.

“Saya ingin menjelaskan berita saya ditahan di padang golf hari ini yang disebarkan oleh sebuah portal berita adalah palsu.

“Hari ini saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang akan bermula Jumaat ini.

“Bagaimanapun esok Khamis saya diminta ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 11 pagi,” maklum kenyataan itu.

Sebelum itu, tular di media sosial dakwaan di sebuah portal berita yang mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu ditangkap SPRM ketika sedang bermain golf.

Sumber: BERNAMA

BACA: Azam Baki Sahkan Muhyiddin Akan Didakwa Pada Esok