Siakap Keli
muhyiddin ditahan palsu
Kredit: BERNAMA

‘Berita Saya Ditahan Di Padang Golf Adalah Palsu’ – Muhyiddin

Berita Saya Ditahan Di Padang Golf Adalah Palsu – Muhyiddin

Berita tular yang mendakwa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika bermain golf hari ini adalah palsu.

Muhyiddin menegaskan penafian sedemikian menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasminya sebentar tadi.

“Saya ingin menjelaskan berita saya ditahan di padang golf hari ini yang disebarkan oleh sebuah portal berita adalah palsu.

“Hari ini saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang akan bermula Jumaat ini.

“Bagaimanapun esok Khamis saya diminta ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 11 pagi,” maklum kenyataan itu.

Sebelum itu, tular di media sosial dakwaan di sebuah portal berita yang mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu ditangkap SPRM ketika sedang bermain golf.

Muhyiddin beri keterangan untuk bantu siasatan SPRM

Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin Yassin telah memberi keterangan kepada SPRM berhubung satu siasatan mengenai dana RM300 juta yang dikaitkan dengan parti itu, menurut sumber SPRM.

Menurutnya Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Bekas Perdana Menteri itu dipercayai dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan dana RM300 juta yang disyaki diterima Bersatu menerusi dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi COVID-19.

Difahamkan lebih 15 individu termasuk pemimpin parti berkenaan selain pihak kontraktor sudah dipanggil SPRM bagi dirakam keterangan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan pembekuan akaun Bersatua bagi membantu siasatan.

Siasatan berhubung perkara itu dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Azam Baki sahkan Muhyiddin akan didakwa

Pada masa yang sama, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa esok.

Bercakap kepada Bernama, Azam berkata ketika ini bekas perdana menteri berkenaan masih lagi sedang diambil keterangan, selepas Pengerusi Perikatan Nasional itu tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini, pada 11.15 pagi tadi.

Semalam, Ahli Parlimen Pagoh berkenaan menafikan dakwaan beliau ditahan SPRM ketika bermain golf di sebuah padang golf di Selangor, seperti dilaporkan beberapa portal media.

Sumber: Muhyiddin Yassin via Facebook

BACA: SPRM Tahan Bendahari Agung Bersatu

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana