Dana Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang terkumpul dalam tempoh sehari sudah mencecah RM92,800.
Justeru itu, SSR mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang menyumbang kepada tabung bantuan guaman dan kompaun seramai 31 peserta acara nyalaan lilin di Dataran Merdeka minggu lalu.
Dalam satu kenyataan daripada SSR, dana yang terkumpul dalam masa sehari itu melibatkan transaksi daripada 688 individu. Ia juga melibatkan jumlah purata sebanyak RM139 dan ramai yang menyumbang nilai RM10 dan RM20.
Difahamkan, sekretariat telah menutup kempen tabung bantuan guaman dan kompaun #Lawan.
Terdahulu, seramai 31 orang peserta lelaki dan wanita ditahan di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard yang ditetap di dalam Pelan Pemulihan Negara kerana terlibat dalam perhimpunan yang bermula jam 8 malam itu.
Sebelum ini, menerusi satu artikel melaporkan SSR memohon bantuan sumbangan dana berjumlah RM62,000 untuk membayar kompaun 31 orang peserta yang ditahan.
Sumber: Kosmo
