Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Stadium Bergema Dengan Sorakan "Boo" Selepas Kemunculan Trump
Satu video memaparkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, disambut dengan sorakan "boo" daripada ribuan penonton ketika menghadiri Perlawanan Akhir NBA tular di media sosial.
Menurut The Guardian, insiden itu berlaku sebelum aksi Game 3 antara New York Knicks dan San Antonio Spurs di Madison Square Garden pada Isnin.
Trump dipaparkan di skrin gergasi arena ketika lagu kebangsaan AS sedang dinyanyikan. Sebaik wajahnya muncul, kedengaran sorakan "boo" daripada sebahagian besar penonton yang memenuhi stadium tersebut.
Rakaman menunjukkan Trump terus memberikan tabik hormat sambil tersenyum sepanjang kira-kira lapan saat wajahnya dipaparkan.
Beberapa saat kemudian, skrin bertukar memaparkan barisan pemain Knicks dan suasana bertukar meriah apabila sorakan penyokong kembali bergema.
Difahamkan, Trump yang dikenali sebagai peminat lama Knicks, hadir sebagai tetamu kepada pemilik pasukan, James Dolan.
Beliau menyaksikan perlawanan dari kotak khas pemilik pasukan di tengah arena dengan kawalan keselamatan yang sangat ketat. Turut berada bersamanya ialah beberapa pegawai kanan pentadbiran AS serta ahli keluarganya.
Lapor The Guardian lagi, kehadiran Trump turut menyebabkan langkah keselamatan luar biasa dilaksanakan di sekitar Madison Square Garden.
Pihak berkuasa memasang pagar keselamatan setinggi kira-kira tiga meter di sekeliling arena, selain menutup beberapa jalan utama berhampiran lokasi perlawanan.
Penyokong yang memiliki tiket diminta hadir sekurang-kurangnya dua jam lebih awal, manakala polisi larangan membawa beg turut dikuatkuasakan.
Malah, kawasan sekitar arena dikawal ketat oleh anggota polis dan ejen keselamatan. Ia sekali gus menyebabkan sesetengah peminat mengeluh kerana terpaksa beratur panjang sebelum dibenarkan masuk.
Beberapa peminat menyatakan kehadiran Trump mengubah suasana perlawanan bersejarah itu.
Antara kesannya ialah pembatalan acara tontonan luar yang sebelum ini berjaya menarik ribuan penyokong Knicks sepanjang kempen playoff pasukan berkenaan.
Walaupun ada yang tidak membantah kehadiran Trump, ramai berpendapat langkah keselamatan yang terlalu ketat sedikit sebanyak menjejaskan pengalaman peminat pada malam tersebut.
Trump sebelum ini mengesahkan akan menghadiri perlawanan itu selepas menerima jemputan daripada Dolan.
Kehadirannya mencipta sejarah apabila beliau menjadi presiden AS yang sedang memegang jawatan pertama menghadiri perlawanan NBA Finals.
Sepanjang penggal keduanya sebagai presiden, Trump kerap muncul dalam acara sukan utama termasuk Super Bowl, Daytona 500 dan Ryder Cup.