Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim menjadikan seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai anak angkat beliau.
Dalam satu perkongsian di Facebook, Steven berkongsi bahawa pelajar itu merupakan anak kepada bekas pemandu beliau yang mendapat 9A dalam SPM.
Menurutnya, bekas pemandu yang dipanggil dikenali sebagai Elias itu orang yang paling rapat dengan beliau ketika memegang jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
"Dialah pilot saya setiap kali saya balik dari Putrajaya ke Penang. Tak kira siang atau malam, dia setia tunggu di lapangan terbang dan bawa saya ke sana sini.
"Walaupun saya dah lama tak ada di KBS, hubungan kami tak pernah putus. Abang Elias bukan sekadar pemandu, tapi saya dah anggap dia macam sahabat," katanya.

Steven berkata anak Elias, Ellyna berjaya menyambung pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam program Tamhidi Syariah dan Undang-Undang dan bercita-cita menjadi peguam syarie.
"Saya teringat masa PKP dulu, saya pernah hadiahkan dia sebuah tablet untuk belajar. Hari ni, dia buktikan usaha itu tak sia-sia dengan kejayaan yang membanggakan mak ayahnya.
"Abang Elias ada hubungi saya untuk kalau boleh bantu sebuah laptop bagi kat Ellyna. Jadi pada hari pendaftaran masuk USIM, saya buat satu kejutan untuk mereka. Dah lama saya tak jumpa Elias, jadi saya bawa sendiri sebuah laptop pergi kat kampus untuk serah sendiri kepada Ellyna.
"Saya sangat gembira jumpa balik Elias dan keluarganya. Dan saya sangat bangga dengan pencapaian Ellyna. Ayah ibu kerja keras demi keluarga. Inilah cara anak-anak balas budi kedua orang tua.
"Sebelum balik, saya minta izin daripada Abang Elias untuk ambik Ellyna sebagai anak angkat saya, supaya saya dapat turut jaga kebajikan dia sepanjang belajar di sini," katanya.

Beliau berharap agar Ellyna terus kuat melangkah, bukan saja dengan ilmu, tapi juga dengan akhlak yang mulia.
"Saya percaya anak sahabat saya ni akan jadi peguam syarie yang berintegriti dan membela keadilan, bantu orang yang memerlukan kelak.
"Ellyna, teruskan usaha, jangan pernah putuih semangat. Ingat pesan saya, Jalan terus," ujarnya lagi.