Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Suami Maut, Isteri Dan Empat Anak Cedera, SUV Terbabas Ke Dalam Gaung
IPOH, 24 April (Bernama) -- Seorang lelaki maut manakala isteri dan empat anaknya cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung setinggi kira-kira tiga meter dalam kejadian di Batu 21, Jalan Tapah menghala ke Cameron Highlands, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira 8.43 malam itu, mangsa yang maut berusia 44 tahun dan juga pemandu kenderaan berkenaan, manakala mereka yang cedera berusia enam hingga 48 tahun.
Beliau berkata keluarga berkenaan difahamkan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Cameron Highlands, Pahang bagi menziarah ahli keluarga terdekat yang meninggal dunia.
“Hasil maklumat awal, kenderaan dinaiki keluarga berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam gaung dan terbalik dalam sungai cetek di kawasan tersebut.
“Pihak kami telah melaksanakan size-up di lokasi sebelum mengaplikasikan konsep SAVER bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit, manakala lima lagi mangsa yang cedera telah dikeluarkan lebih awal oleh orang awam,” katanya.
Sabarodzi berkata mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mereka yang cedera telah dihantar ke hospital berhampiran bagi rawatan susulan.