Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Sudah Jadi Kelaziman Makan Nasi Dengan Kuah,” Exco Terengganu Tepis Dakwaan Perlekeh Menu Rahmah

Syed Faisal Sayed Muhammad
Exco Terengganu perlekeh menu rahmah
Gambar: TikTok

“Sudah Jadi Kelaziman Makan Nasi Dengan Kuah,” Exco Terengganu Tepis Dakwaan Perlekeh Menu Rahmah

Tular pada baru-baru ini berkenaan satu video yang memaparkan seorang Exco Terengganu didakwa memperlekeh Menu Rahmah.

Hanafiah Mat yang merupakan Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Terengganu telah tampil menafikan dakwaan yang membabitkan dirinya itu.

Memetik Sinar Harian, Hanafiah berkata sedemikian selepas videonya sedang menjamah Menu Rahmah telah tular dan tersebar di media sosial pada Jumaat lalu.

Menurutnya, video tersebut dirakam ketika beliau menjamah nasi bersama rakan di sebuah kedai di luar Terengganu. Perbuatan itu katanya tiada sebarang kaitan dengan Menu Rahmah sebagaimana yang didakwa.

Baca: Terkenal Sebagai Kampung Jungkook & Jimin BTS, Rupanya Ini Yang Buat Ramai Tak Senang Duduk Bila Sebut Busan

“Apa yang dipaparkan dalam video itu adalah menu makan tengah hari saya apabila hidangan tersebut berlaukkan seekor ikan, dua jenis sayur dan telur goreng tanpa kuah kerana hidangan tersebut memang tidak disediakan kuah.

“Sudah menjadi kelaziman kami orang Terengganu kena makan nasi dengan kuah. Jadi saya mengambil keputusan menjadikan air minuman oren saya sebagai kuah bagi saya menghabiskan hidangan makan tengah hari saya,” kata beliau memberi penjelasan.

Tambahnya lagi, hidangan tersebut juga telah dicaj kira-kira RM15 bagi dua orang makan. Beliau menolak dakwaan tersebut menyentuh soal Menu Rahmah.

“Kami juga dicaj kira-kira RM15 untuk dua orang. Saya tidak menyentuh soal Menu Rahmah dan langsung tiada niat menghina golongan tertentu kerana itu bukan diri saya, sebagai wakil rakyat saya faham denyut nadi rakyat.

“Apa yang berlaku adalah apabila ada pihak lain yang tersilap tafsir mengenai video ini dan menuduh saya dengan dakwaan yang bukan-bukan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Jumaat lalu.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai telah berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang.

Tindakan tersebut akan diambil kepada mereka yang menyebarkan video dan mencetuskan dakwaan yang salah.

“Saya akan bincang dengan peguam dan beri mereka masa dua hari untuk membuat permohonan maaf melalui TikTok,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video yang memaparkan seorang individu yang dipercayai Hanafiah didakwa telah memperlekehkan hidangan Menu Rahmah. Video tersebut telah tular di media sosial sejak Khamis lalu.

Berdasarkan rakaman video tersebut, Hanafiah dilihat merungut berkenaan hidangan itu yang hanya mempunyai sayur sedikit dan tiada kuah.

Video pendek berdurasi 18 saat yang tersebar itu turut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Sumber: Sinar Harian