Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Perlindungan kanak-kanak tidak boleh dipikul oleh kerajaan atau agensi penguat kuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan daripada seluruh lapisan masyarakat bagi memastikan setiap kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang selamat.
SUHAKAM dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, mesej itu menjadi fokus utama Persidangan Perlindungan Kanak-Kanak Sabah 2026 yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil, institusi pendidikan, profesional kesihatan, agensi penguat kuasa serta rakan strategik bagi memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak.
Menurut SUHAKAM, persidangan yang dianjurkan bersama Child Safeguarding Initiative (CSI) dan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) pada 4 Julai lalu itu membawa tema "Membina Komuniti yang Melindungi", sekali gus menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama.
Katanya, persidangan berkenaan menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama, berkongsi amalan terbaik serta mencari penyelesaian praktikal terhadap pelbagai cabaran yang dihadapi kanak-kanak di Sabah.
Dalam ucapan perasmian, Timbalan Menteri Wanita, Kebajikan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, Kerajaan Negeri Sabah komited memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak menerusi kerjasama rentas sektor, pelaksanaan intervensi awal dan peningkatan kesedaran masyarakat.
Beliau berkata, usaha tersebut perlu diperkasakan di setiap lapisan masyarakat bagi memastikan setiap kanak-kanak dapat membesar dalam persekitaran yang selamat serta menyokong perkembangan mereka.
Persidangan itu turut dimulakan dengan ucaptama oleh Pengerusi Association of International Malaysian Schools merangkap Pengetua Kinabalu International School (KIS), Sam Gipson serta Pendaftar Mahkamah Rendah Sabah dan Sarawak, Elsie Primus.
Menurut SUHAKAM, kedua-dua penceramah menekankan kepentingan intervensi awal, langkah pencegahan serta tanggungjawab bersama dalam melindungi kanak-kanak sebelum sesuatu kes memasuki sistem keadilan.
Sepanjang persidangan berlangsung, tiga sesi dialog diadakan bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan perlindungan kanak-kanak termasuk aspek perundangan, mekanisme pelaporan kes di Sabah serta usaha memperkasa advokasi hak kanak-kanak.
Katanya, perbincangan turut menyentuh isu keselamatan dalam talian, perlindungan kanak-kanak tanpa dokumen dan tanpa kerakyatan serta keperluan memperkukuh penyelarasan antara agensi bagi memastikan pelaksanaan dasar lebih berkesan.
Selain itu, wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Hospital SCAN (Suspected Child Abuse and Neglect) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut berkongsi prosedur pelaporan, penyiasatan serta tindakan susulan dalam mengendalikan kes-kes melibatkan kanak-kanak.
Menurut SUHAKAM, para peserta turut bersetuju bahawa sistem perlindungan yang berkesan memerlukan kerangka undang-undang yang kukuh, mekanisme pelaporan yang cekap, penyertaan bermakna kanak-kanak serta kerjasama berterusan daripada semua pihak.
Persidangan itu juga mengiktiraf penubuhan Tribunal Antibuli sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh mekanisme akauntabiliti dan perlindungan kepada kanak-kanak serta golongan muda.
Sementara itu, Naib Pengerusi SUHAKAM, Datuk Mariati Robert berkata, perlindungan kanak-kanak bukan sekadar memenuhi keperluan dasar atau undang-undang, malah mencerminkan nilai sesebuah masyarakat dalam memastikan setiap kanak-kanak hidup dengan selamat, dihormati dan berpeluang mencapai potensi mereka.
Beliau berkata, undang-undang yang mantap, institusi yang berkesan serta penglibatan aktif masyarakat perlu bergerak secara seiring dengan mengutamakan kepentingan terbaik kanak-kanak.
“Kanak-kanak perlu diiktiraf bukan sahaja sebagai penerima perlindungan, malah sebagai peserta aktif dalam setiap keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka,” ujarnya.
Mengulas lanjut, SUHAKAM berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia, Kerajaan Negeri Sabah serta pelbagai pihak berkepentingan bagi merealisasikan Dasar Kanak-kanak Negara dan Pelan Tindakan 2026-2030.
Katanya, kerjasama berterusan amat penting bagi memastikan usaha perlindungan kanak-kanak lebih inklusif, khususnya melibatkan kanak-kanak kurang upaya, kanak-kanak tanpa kerakyatan, kanak-kanak tanpa dokumen serta kanak-kanak Orang Asli dan masyarakat asal supaya tiada seorang pun tercicir daripada menerima perlindungan sewajarnya.