Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik hasrat kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), disifatkan sebagai langkah penting ke arah memperkukuh kebebasan akademik, autonomi institusi dan kebebasan bersuara mahasiswa.
Dalam satu kenyataan hari ini, SUHAKAM berkata, pemansuhan AUKU perlu disusuli reformasi menyeluruh bagi memastikan kerangka pendidikan tinggi baharu benar-benar berteraskan prinsip hak asasi manusia.
Menurut SUHAKAM, kebimbangan terhadap sekatan di bawah AUKU bukan perkara baharu, termasuk menerusi kes Muhammad Hilman Idham & Ors v Kerajaan Malaysia & Ors, apabila Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan Seksyen 15(5)(a) AUKU ketika itu sebagai tidak berperlembagaan.
Jelasnya, keputusan berkenaan mempunyai implikasi lebih luas apabila menegaskan bahawa mahasiswa berhak menikmati kebebasan dan hak perlembagaan mereka di institusi pengajian tinggi, manakala sebarang sekatan mestilah munasabah, berasas dan tidak dikenakan secara sewenang-wenangnya.
“Universiti seharusnya menjadi medan untuk melahirkan pencetus perubahan dan pemikir, bukannya institusi yang melatih pelajar menjadi seperti robot,” menurut SUHAKAM, memetik pandangan Hakim Hishamudin Yunus ketika menyampaikan penghakiman Mahkamah Rayuan.
Dalam pada itu, SUHAKAM berkata, pemansuhan AUKU bukan sekadar berkaitan penghapusan sesuatu undang-undang, sebaliknya peluang untuk membentuk semula hubungan antara negara, universiti, ahli akademik dan mahasiswa.
Katanya, langkah itu perlu memperkukuh kebebasan institusi pada masa sama memastikan aspek ketelusan dan akauntabiliti terus terpelihara.
“Pemansuhan tersebut perlu disusuli dengan mekanisme peralihan yang jelas bagi memastikan pentadbiran universiti terus berjalan dengan lancar, tanpa mengekalkan atau memperkenalkan semula peruntukan yang boleh mengehadkan kebebasan asasi secara tidak wajar,” katanya.
SUHAKAM turut menyambut baik jaminan Perdana Menteri bahawa kerangka baharu pendidikan tinggi tidak akan mengembalikan sekatan terhadap kebebasan mahasiswa.
Ujarnya, sebarang kerangka baharu atau pindaan kepada kerangka sedia ada perlu dibangunkan secara inklusif menerusi konsultasi bermakna bersama mahasiswa, ahli akademik, kepimpinan universiti, masyarakat sivil dan pihak berkepentingan.
Menurutnya, kerangka baharu itu juga perlu melindungi kebebasan ahli akademik dan penyelidik untuk mengajar, menjalankan penyelidikan, menerbitkan hasil kajian, berkongsi pandangan serta terlibat dalam wacana awam tanpa campur tangan tidak wajar.
Pada masa sama, SUHAKAM berkata, kebebasan mahasiswa untuk menyuarakan pandangan, berpersatuan dan berhimpun secara aman perlu dihormati dan dilindungi.
Jelasnya, sebarang sekatan terhadap kebebasan berkenaan mestilah berasaskan undang-undang, mempunyai keperluan yang jelas serta tidak berlebihan.
Dalam aspek autonomi institusi pula, SUHAKAM menegaskan ia perlu diperkukuh menerusi tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab, khususnya dalam pengurusan sumber awam.
“Selepas lebih lima dekad pelaksanaan AUKU, pemansuhannya perlu membawa perubahan yang nyata dan bermakna kepada sistem pendidikan tinggi Malaysia.
“Universiti perlu menjadi ruang yang terbuka untuk perbezaan pandangan, pertukaran idea dan perbahasan secara bebas, serta membolehkan pelajar membina pemikiran kritis dan memainkan peranan yang bermakna dalam masyarakat,” katanya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan