Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sunway XFarms dan Tune Protect Group Berhad (Tune Protect) terus memperkukuh usaha memupuk kesedaran kelestarian dalam kalangan generasi muda menerusi pelaksanaan program Grow & Give yang membawa sistem pertanian hidroponik berkuasa solar ke sekolah.
Program yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Putra, Jenjarom itu bukan sahaja bertujuan memperkasakan keterjaminan makanan, malah memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pertanian mampan melalui pembelajaran secara praktikal.
Menerusi kerjasama itu, sebanyak enam unit sistem pertanian hidroponik berkuasa solar dipasang di kawasan sekolah untuk dijadikan sebagai "bilik darjah hidup" yang membolehkan pelajar mempelajari teknik penanaman moden sambil menghasilkan bekalan sayur-sayuran segar secara berterusan.

Menurut Tune Protect, sistem berkenaan turut mendapat sokongan teknikal berterusan daripada Sunway XFarms, termasuk penyediaan benih, nutrien serta penyelenggaraan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati dalam tempoh jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway XFarms, Mohd Afdhal Mohd Nayan, berkata pihaknya percaya pendedahan awal terhadap pertanian moden mampu melahirkan generasi yang lebih peka terhadap isu kelestarian dan keterjaminan makanan.
"Di Sunway XFarms, kami yakin cara terbaik untuk membina masa hadapan yang lebih mampan adalah dengan memberi peluang kepada golongan muda mengalami sendiri pengalaman tersebut.
"Dengan membawa pertanian hidroponik ke sekolah, pelajar dapat melihat bagaimana teknologi pertanian moden menyumbang kepada keterjaminan makanan, di samping membina kemahiran praktikal yang boleh dimanfaatkan di luar bilik darjah," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kerjasama bersama Tune Protect itu diharap dapat menyemai budaya hidup lestari dalam kalangan pelajar serta meningkatkan kesedaran bahawa setiap individu mempunyai peranan dalam membina komuniti yang lebih mampan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemampanan Tune Protect, Koot Chiew Ling, berkata program Grow & Give bukan sekadar aktiviti kesukarelawanan, sebaliknya merupakan pelaburan jangka

panjang kepada pembangunan komuniti.
Menurutnya, gabungan elemen pendidikan, kelestarian dan penglibatan sukarelawan pekerja mampu memberikan impak yang berkekalan kepada masyarakat.
"Grow & Give mencerminkan komitmen kami untuk memperkasakan komuniti melalui penyelesaian kelestarian yang praktikal, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan keterjaminan makanan dan penjagaan alam sekitar," ujarnya.
Selain pemasangan sistem hidroponik, pelajar termasuk daripada Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) turut mengikuti bengkel Farming Made Fun yang memperkenalkan teknik pertanian hidroponik dan penanaman mikrohijau menerusi aktiviti pembelajaran secara langsung.
Dalam masa sama, pekerja Tune Protect bersama Sunway XFarms turut membantu pelajar menjalankan aktiviti penuaian, kawalan kualiti dan pembungkusan hasil tanaman bagi memberi gambaran menyeluruh mengenai proses pengeluaran makanan secara mampan.
Program itu turut merangkumi pelbagai aktiviti penambahbaikan di sekolah seperti mengecat semula kawasan terpilih, kerja-kerja landskap, penanaman pokok serta pembinaan Sudut 3R (Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula) bagi memupuk budaya penjagaan alam sekitar.

Menurut Tune Protect, program Grow & Give akan dilaksanakan menerusi tiga siri kesukarelawanan sepanjang tahun ini dengan penglibatan kira-kira 180 pekerja syarikat tersebut.
Katanya, inisiatif itu turut meneruskan kejayaan pelaksanaan Grow & Give pada tahun lalu yang berjaya memperkukuh keterjaminan makanan di Pangsapuri Medan Jaya, Petaling Jaya menerusi pemasangan empat sistem hidroponik berkuasa solar yang menghasilkan lebih 22 kilogram sayur-sayuran segar sepanjang lapan kitaran tanaman.
Tambah Chiew Ling, program itu selari dengan aspirasi kemampanan Tune Protect menerusi agenda "In Tune for a Better Tomorrow", yang menyasarkan sumbangan 6,000 jam kerja sukarela oleh kakitangannya bagi tempoh 2025 hingga 2027.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan