Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

“Surrr…”, KTMB Tawar Nasi Kandar Penang Dalam Gerabak
Nasi kandar merupakan salah satu makanan yang paling digemari oleh rakyat Malaysia. Cukup sinonim dengan tagline “kuah banjir” nasi putih ini dihidangkan dengan pelbagai aneka lauk dan kuah berempah.
Sebut sahaja nasi kandar, tentunya nama negeri Pulau Pinang bermain difikiran orang ramai kerana ia adalah negeri kelahiran hidangan ini.
Biarpun terdapat cawangan kedai nasi kandar di seluruh semenanjung, namun pemburu nasi kandar sanggup berkunjung ke negeri itu semata-mata untuk menikmati nasi kandar ‘Penang’.
Namun, peminat makanan ini tidak perlu ‘terbang jauh’ untuk mendapatkan sepinggan nasi kandar ini kerana Kereta Api Tanah Melayu (KTM) Berhad juga mempromosikan hidangan ini dengan kolaborasi Nasi Kandaq Transporter, Nasi Kandar Hunter (NHK) dan Kumpulan Segi Seri yang digelar “Nasi Kandar Original Dari Pulau Pinang”.
KTM dalam satu kenyataan semalam memaklumkan beberapa Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) terpilih menawarkan hidangan ini asli dari negeri Pulau Pinang.
Antara ETS terpilih yang menawarkan makanan popular ini termasuklah ETS dari Kuala Lumpur ke Butterworth (EP 9174, EP 9176, EG 9322), Butterworth ke Kuala Lumpur (EP 9175, EP 9179, EP 9177), Kuala Lumpur ke Padang Besar (EP 9420) dan Padang Besar ke Kuala Lumpur (EP 9279).
“Nasi Kandaq Original dari Pulau Pinang dalam Kafe ETS. Mai dapatkan Nasi Kandaq di Kafe ETS Koc C. Hangpa cepat, hangpa dapat nah!. Paih makan bole tersandaq,” maklum KTM di Facebook.

Difahamkan, KTM telah menawarkan hidangan itu kepada penumpang sejak awal bulan ini (1 Februari) dalam satu kenyataan.
Pada 3 Februari, KTM juga memaklumkan pihaknya masih menawarkan makanan itu dalam satu hantaran di Facebook.
“Nasi Kandaq Original dari Pulau Pinang dalam Kafe ETS. Mai dapatkan di Kafe (Koc C) ETS 9175 untuk perjalanan hari ini sahaja.
“Pada 3 Februari 2024 (Sabtu), hangpa boleh dapatkan Nasi Kandaq dalam ETS EP9174,EP9175, EP9176 dan EG9420. Hangpa cepat, hangpa dapat nah! Paih makan bole tersandaq,” tulis KTM di platform berkenaan.
Perkara itu turut dimaklumkan oleh Nasi Kandaq Transporter di akaun TikTok @nasikkandaqtransporter.
Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada makluman berhubung tarikh promosi seterusnya oleh kerjasama KTM Berhad dan Nasik Kandaq Transporter.
Sumber: KTM Berhad/Facebook