Syarikat pengeluar arak yang menggunakan jenama ‘Timah’ bersetuju pertimbangkan untuk menukar nama dan imej yang tertera pada label produk seperti yang dilancarkan awal bulan ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara tersebut adalah setelah satu mesyuarat bersama syarikat tersebut, Winepark Corporation (M) Sdn. Bhd. diadakan baru-baru ini.
“Melalui perbincangan yang telah diadakan, syarikat Winepark Corporation (M) Sdn. Bhd. telah memohon tempoh selama satu minggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah mereka bagi menukar nama dan imej pada label produk arak keluaran mereka.
“Perkara berkenaan adalah antara hasil keputusan yang telah dicapai dalam pertemuan wakil syarikat berkenaan bersama pihak kerajaan semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, jelas Nanta, pertemuan secara hibrid tersebut diadakan dalam suasana harmoni dalam menghayati konsep Keluarga Malaysia bagi mencapai kesepakatan demi kebaikan negara.
Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) juga akan menambah baik prosedur yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi-agensi berkaitan supaya isu yang sama tidak berulang lagi.
“Saya berharap semua pihak dapat memahami serta memberi peluang kepada kerajaan mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk semua pihak,” tambahnya.
Turut sama dalam pertemuan tersebut antaranya ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Antara lain yang menyertai pertemuan itu adalah Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Abdul Wahid Abu Salim dan Ketua Pengarah MyIPO, Abdul Haris Lakar.
Dalam masa sama, wakil-wakil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga turut hadir dalam pertemuan itu.
Sumber: KPDNHEP
