Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seorang wanita disahkan maut selepas diserang dan dibaham oleh seekor ular sawa yang berukuran kira-kira 7.8 meter di Kabupaten Pulau Taliabu, Maluku, pada Selasa lalu, lapor CNN Indonesia.
Mangsa Elisabet Yamalau, 44, awalnya telah memberitahu suaminya, Benyamin Lanto, 52 untuk keluar sebentar kira-kira jam 9 malam bagi memindahkan seekor lembu yang berada di kawasan kebun mereka.
Namun sehingga lewat petang keesokan harinya, Elisabet masih tidak pulang ke rumah.
Keadaan itu menyebabkan Benyamin berasa cemas dan memutuskan untuk pergi mencari isterinya di kawasan kebun tersebut.
Setelah tiba di lokasi, dia amat terkejut setelah mendapati isterinya itu dibaham oleh seekor ular sawa yang dikatakan telah melilit dan menelan separuh tubuh isterinya.
Pegawai polis Taliabu, AKBP Adnan Wahyu Kashogi juga mengesahkan perkara tersebut.
"Suaminya mendapati isterinya telah dibaham oleh seekor ular sawa dan separuh badan isterinya berada di dalam mulut ular tersebut," katanya kepada pemberita.
Melihat kejadian itu, suaminya cuba untuk menyelamatkan isterinya dengan memotong kepala ular tersebut dengan menggunakan alat yang ada.
Namun, selepas isterinya itu berjaya dilepaskan dari ular tersebut, Elisabet disahkan telah meninggal dunia.
Pihak polis juga memaklumkan jenazah mangsa telah dibawa pulang ke rumah bagi urusan pengebumian.