Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tak Eram Telur, Burung Maleo Dari Indonesia Guna Haba Dalam Tanah

Burung Maleo Guna Haba
Kredit: WCS Indonesia

Bayangkan ada burung yang tanam telur di kawasan tanah panas, selalunya berdekatan dengan gunung berapi kemudian tinggalkan telur begitu sahaja.

Tak duduk mengeram, tak bertukar-tukar giliran menjaga dengan pasangan dan tak tunggu anak menetas.

Begitulah cara burung Maleo (Macrocephalon maleo), burung endemik Sulawesi, Indonesia melahirkan generasi seterusnya.

Tak Eram Telur, Burung Maleo Guna Haba Bumi

Bagi kebanyakan burung, telur perlu dieram menggunakan haba badan ibu bapa supaya embrio di dalamnya dapat berkembang.

Tetapi, burung Maleo pula menggunakan cara yang sangat berbeza dengan menggunakan haba semula jadi daripada bumi sebagai 'mesin pengeram' untuk telurnya.

Pasangan burung Maleo akan meninggalkan hutan dan cari lokasi pembiakan yang mempunyai tanah panas, termasuk kawasan berhampiran sumber air panas dan kawasan geoterma.

Bila dah jumpa kawasan yang sesuai, mereka akan gali lubang dengan kedalaman kira-kira satu meter sebelum Maleo betina memasukkan sebiji telur.

Dan telur burung Maleo bukan kecil, ia boleh mencapai kira-kira lima kali ganda saiz telur ayam dan mempunyai kandungan kuning telur yang tinggi.

Selepas meletakkan telur mereka, pasangan burung tersebut akan menimbusnya menggunakan tanah atau pasir sebelum berlari meninggalkan telur itu.

Telur Ditinggalkan Sehingga 90 Hari

Selepas meninggalkan tempat pembiakaan, pasangan burung Maleo itu tidak akan kembali untuk mengeram telur mereka.

Telur akan dibiarkan selama kira-kira 60 hingga 90 hari, dan haba daripada tanah membantu memastikan embrio terus berkembang sehingga menetas.

Lagi menarik, burung Maleo tak pilih lokasi pembiakan secara rawak tetapi akan mencari kawasan yang suhunya sesuai, sekitar 33 darjah Celcius.

Kalau di kawasan pantai pula, burung Maleo boleh menggunakan pasir yang dipanaskan oleh matahari sebagai sumber haba untuk membantu proses pengeraman.

Jadi, walaupun tiada ibu atau bapa yang duduk atas telur, alam sekitar tersedia sebagai 'inkubator' buat burung Maleo.

Baru Menetas, Anak Burung Maleo Sudah Berdikari

Selepas berbulan-bulan berada di dalam tanah, anak burung Maleo akhirnya menetas tapi masih tertanam jauh di bawah permukaan.

Dan masa inilah anak burung itu perlu melakukan sesuatu yang kebanyakan anak burung lain tak perlu fikirkan pun.

Anak burung Maleo perlu menggali jalan keluar sendiri!

Bayangkan baru menetas, tak tunggu ibu datang bawa makanan tapi kena gali tanah atau pasir guna kaki dan sayap untuk keluar.

Dan proses ini bukannya sekejap kerana anak burung Maleo boleh mengambil masa sehingga dua hari untuk keluar dari tempat menetasnya.

Sebaik sahaja muncul di permukaan, anak burung Maleo sudah cukup matang untuk berlari dan malah terbang menuju ke hutan.

Begitulah nasib anak burung Maleo, hari pertama melihat dunia sudah perlu berdikari.

Anak burung Maleo, baru menetas

Tapi Cara Ini Ada Kelemahannya

Mungkin menetaskan telur cara ini nampak mudah dan strategik, kerana ibu aau bapa tak perlu menghabiskan masa berbulan-bulan untuk mengeram.

Tambahan lagi, apabila anak burung Maleo menetas, ia terus dilahirkan dengan kebolehan untuk bergerak dan mencari perlindungan sendiri.

Tetapi ada satu masalah besar, di mana lokasi 'inkubator' semua jadi telur burung Maleo juga menjadi sasaran manusia.

Maleo biasanya berkumpul di kawasan pembiakan tertentu, dan apabila banyak burung datang ke lokasi, kewujudan telur yang tertanam dalam tanah akhirnya menjadi mudah dikesan.

Telur yang besar dan kaya dengan nutrien itu telha lama dikuip dan dijual serta dijadikan makanan di sesetengah kawasan Sulawesi.

Masalahnya, setiap telur yang diambil sebelum sempat menetas bermaksud satu lagi anak burung Maleo tidak pernah masuk ke dalam populasi.

Hutan Makin Hilang, Populasi Turut Merosot

Dalam masa yang sama, habitat burung ini turut semakin terjejas kerana tempat mencari makanan dan berlindung semakin berkurang akibat pembukaan kawasan untuk pertanian, pembalakan dan aktiviti manusia lain.

Apabila hutan semakin jauh daripada kawasan pembiakan, perjalanan yang perlu dilakukan oleh buurng Maleo juga semakin menjadi sukar.

Malah, populasi Maleo di utara Sulawesi dilaporkan merosot lebih 90 peratus sejak tahun 1960-an.

Lebih membimbangkan, lebih separuh daripada pembiakana yang pernag dikenal pasti di utara Sulawesi telah ditinggalkan.

Bagi spesies yang bergantung kepada lokasi tertentu untuk bertelur, kehilangan kawasan pembiakan bermakna kehilangan tempat untuk generasi baharu dilahirkan.

Intipati
  • Burung Maleo menanam telur dalam tanah panas dan tidak mengeramnya selepas bertelur.
  • Telur Maleo dibiarkan 60 hingga 90 hari, menggunakan haba bumi sebagai inkubator semula jadi.
  • Populasinya merosot akibat kutipan telur, kehilangan hutan dan kawasan pembiakan yang ditinggalkan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan