Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Tak Sangka, Duduk Lama Boleh Undang Penyakit Bahaya

suhaila
Tak Sangka, Duduk Lama Boleh Undang Penyakit Bahaya
Gambar AI

Tak Sangka, Duduk Lama Boleh Undang Penyakit Bahaya Tanpa Sedar

Dalam dunia moden yang serba canggih hari ini, kita semakin banyak menghabiskan masa dalam keadaan duduk. Sama ada ketika bekerja di pejabat, belajar di universiti, memandu dalam kesesakan jalan raya hinggalah waktu bersantai menonton televisyen atau melayari media sosial.

Duduk seakan sudah menjadi gaya hidup yang tidak dapat dielakkan. Malah ada yang boleh duduk berjam-jam tanpa sedar masa berlalu lebih-lebih lagi apabila terlalu fokus pada tugasan atau hanyut dalam hiburan di skrin kecil.

Walaupun kelihatan sebagai aktiviti yang biasa dan tidak berbahaya, hakikatnya duduk terlalu lama adalah sejenis bahaya senyap yang perlahan-lahan merosakkan tubuh tanpa kita sedari.

Lebih mengejutkan, kesan daripada tabiat ini bukan sekadar sakit belakang atau rasa lenguh yang sementara tetapi boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan serius dalam jangka masa panjang.

Kajian perubatan telah membuktikan bahawa duduk lama secara berterusan boleh meningkatkan risiko penyakit kronik seperti obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung malah ada yang mengaitkannya dengan risiko kematian pramatang.

Apa yang lebih membimbangkan, kesannya tetap berlaku walaupun seseorang itu kelihatan sihat luaran dan tidak mempunyai berat badan berlebihan.

Ramai tidak menyedari bahawa setiap kali kita duduk berjam-jam tanpa henti, badan sebenarnya sedang bekerja keras dalam diam untuk menampung tekanan pada sendi, menguruskan peredaran darah yang semakin perlahan dan mengekalkan keseimbangan metabolik.

Jika dibiarkan berterusan, tubuh akhirnya tidak lagi mampu bertahan dan mula menunjukkan tanda-tanda gangguan kesihatan yang mungkin muncul dalam bentuk kecil pada awalnya tetapi menjadi lebih serius dari tahun ke tahun.

Itulah sebabnya duduk terlalu lama digelar sebagai “the new smoking” oleh pakar kesihatan. Ini kerana bahayanya sama seperti tabiat merokok yang memberi kesan perlahan tetapi berpanjangan.

1. Masalah kesihatan jantung

Apabila tubuh berada dalam keadaan duduk terlalu lama, jantung bekerja dengan kadar yang lebih perlahan kerana aliran darah tidak lagi dipam dengan aktif ke seluruh tubuh.

Otot-otot kaki yang jarang digerakkan menyebabkan darah terkumpul dan aliran oksigen berkurangan. Lalu memberi tekanan tambahan kepada sistem kardiovaskular.

Jika keadaan ini berterusan, risiko untuk mendapat penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan strok akan meningkat dengan ketara.

Kajian juga menunjukkan bahawa walaupun seseorang itu bersenam secara berkala, kesan buruk duduk berlebihan tetap wujud jika baki masa seharian masih dihabiskan dalam keadaan statik.

Ini bermakna, tiada gunanya bersenam selama sejam tetapi kemudian duduk tidak bergerak selama lapan hingga sepuluh jam berikutnya.

Dalam jangka masa panjang, jantung yang sentiasa kurang dirangsang menjadi semakin lemah dan terdedah kepada masalah serius.

2. Berat badan meningkat dan masalah metabolik

Apabila tubuh tidak banyak bergerak, kadar pembakaran kalori menurun secara drastik. Makanan yang diambil tidak digunakan sepenuhnya sebagai tenaga sebaliknya tersimpan sebagai lemak di dalam badan.

Inilah sebab mengapa ramai yang bekerja pejabat atau banyak duduk sering mengalami masalah pertambahan berat badan walaupun tidak makan secara berlebihan.

Lebih membimbangkan, metabolisma yang perlahan akibat duduk terlalu lama juga mengganggu keseimbangan hormon insulin.

Ianya sekali gus dapat meningkatkan risiko untuk mendapat diabetes jenis 2. Lama-kelamaan, tubuh bukan sahaja bertambah berat malah cenderung mengalami sindrom metabolik, Iaitu satu keadaan di mana tekanan darah tinggi, kolesterol tidak seimbang, dan paras gula darah yang tinggi berkumpul dalam satu masa.

Masalah ini jika tidak dikawal boleh mengundang pelbagai komplikasi kesihatan lain yang lebih berbahaya.

3. Masalah sendi dan otot

Selain itu juga, duduk dalam tempoh yang panjang memberi kesan langsung kepada kekuatan dan kesihatan otot serta sendi. Otot punggung dan kaki yang tidak digunakan menjadi semakin lemah.

Ini menyebabkan badan hilang keseimbangan apabila melakukan aktiviti harian. Pada masa yang sama, tulang belakang yang sentiasa berada dalam posisi statik lebih mudah mengalami tekanan tidak sekata lalu menyebabkan sakit belakang kronik, slip disc dan gangguan postur seperti bongkok.

Leher dan bahu juga sering terkesan akibat posisi duduk yang salah. Terutamanya jika terlalu lama menunduk ke arah komputer atau telefon pintar.

Keadaan ini bukan sahaja menyakitkan malah boleh menjejaskan kualiti hidup dalam jangka masa panjang kerana tubuh tidak lagi sekuat dan seanjal dahulu.

Bayangkan, hanya kerana tabiat duduk lama, pergerakan harian seperti berjalan, membongkok atau mengangkat barang boleh menjadi lebih sukar dan menyakitkan.

BACA : Baju Masih Lembap Lepas Guna “Washer Dryer”? Ini Sebabnya

4. Masalah peredaran darah dan pembekuan

Salah satu kesan yang jarang disedari tetapi sangat berbahaya ialah masalah peredaran darah. Apabila duduk terlalu lama terutamanya dengan kaki yang tidak digerakkan, darah cenderung berkumpul di bahagian bawah badan.

Ini bukan sahaja menyebabkan rasa kebas atau bengkak pada kaki tetapi juga meningkatkan risiko trombosis vena dalam (DVT) iaitu keadaan darah beku terbentuk di dalam saluran vena.

Jika darah beku ini bergerak ke paru-paru atau otak, ia boleh menyebabkan komplikasi serius seperti embolisme pulmonari atau strok yang mengancam nyawa.

Masalah ini kerap berlaku kepada mereka yang duduk lama dalam penerbangan jarak jauh atau bekerja di pejabat tanpa banyak bergerak.

Malangnya, ramai tidak menyedari bahawa ia boleh berlaku walaupun dalam kehidupan seharian jika tabiat duduk berlebihan diteruskan tanpa pencegahan.

5. Kesan kepada kesihatan mental

Selain daripada tubuh, otak juga tidak terkecuali daripada kesan buruk duduk terlalu lama. Gaya hidup sedentari mengurangkan aliran darah ke otak sekaligus mengurangkan kadar penghantaran oksigen dan nutrien penting.

Keadaan ini boleh menjejaskan tahap fokus, daya ingatan dan keupayaan membuat keputusan. Lebih membimbangkan, duduk lama juga dikaitkan dengan peningkatan risiko kemurungan, keresahan dan rasa terasing daripada kehidupan sosial.

Hal ini kerana apabila tubuh kurang bergerak, hormon endorfin yang biasanya terhasil melalui aktiviti fizikal juga berkurangan.

Ini akan menyebabkan mood lebih mudah terganggu. Dalam jangka masa panjang, kesan ini boleh merosakkan keseimbangan emosi, menjejaskan produktiviti kerja dan menurunkan tahap kepuasan hidup secara keseluruhan.

6. Risiko kematian pramatang

Mungkin kedengaran drastik tetapi realitinya duduk terlalu lama memang dikaitkan dengan risiko kematian pramatang.

Kajian mendapati bahawa individu yang duduk lebih daripada sembilan jam sehari mempunyai risiko lebih tinggi untuk meninggal dunia akibat penyakit kronik seperti kanser, diabetes atau serangan jantung.

Ini kerana tabiat sedentari melemahkan keseluruhan sistem tubuh sedikit demi sedikit dari jantung, paru-paru, hingga ke otak.

Kesan ini tidak berlaku serta-merta tetapi apabila terkumpul bertahun-tahun, tubuh akhirnya tidak lagi mampu menampung kerosakan dalaman yang berlaku.

Lebih menyedihkan, ramai orang hanya menyedari bahayanya selepas tanda-tanda penyakit muncul. Ketika itu rawatan sudah menjadi lebih rumit dan tidak lagi mudah dikawal.

Oleh itu, tabiat duduk terlalu lama bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Walaupun nampak mudah dan selesa, ia menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan jangka panjang yang boleh menjejaskan kualiti hidup.

Cara terbaik untuk mengatasinya bukanlah dengan mengelak duduk sepenuhnya tetapi dengan menyeimbangkan aktiviti harian.

Bangunlah setiap sejam untuk berjalan sebentar. Lakukan regangan ringan di meja kerja atau jadikan senaman ringkas sebagai rutin harian.

Perubahan kecil ini mampu memberi kesan besar kepada kesihatan fizikal dan mental kita. Ingatlah, tubuh manusia diciptakan untuk bergerak, bukan untuk duduk berjam-jam tanpa henti.

BACA : Pengawet Makanan: Punca Anak Hyper & Mood Swing?

Sumber :

betterhealth

,

yalamedicine