Tular di media sosial rakaman detik-detik cemas kejadian tanah runtuh berhampiran sempadan China-Nepal yang menyaksikan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri sebelum lumpur dan serpihan menutupi kawasan terbabit dalam beberapa saat.
Rakaman yang tersebar menunjukkan kejadian itu berlaku dengan pantas ketika orang ramai berada berhampiran sebuah pusat pemeriksaan sempadan.
Kelihatan individu di lokasi kejadian berlari menyelamatkan diri apabila aliran lumpur dan serpihan mula mengganas sebelum pandangan kamera akhirnya terhalang oleh bahan runtuhan.
Operasi mencari dan menyelamat kini sedang giat dijalankan selepas kejadian tanah runtuh itu melanda kawasan sempadan kedua-dua negara, termasuk daerah Gyirong di Tibet, yang berada di bawah pentadbiran bandar Shigatse.

Menurut laporan agensi berita Xinhua, kejadian bermula di Nepal kira-kira jam 9 pagi pada Rabu sebelum turut menjejaskan kawasan Gyirong di China.
Tanah runtuh itu dilaporkan mengakibatkan korban yang besar serta beberapa individu masih hilang di Pelabuhan Gyirong, namun jumlah sebenar mangsa yang maut dan cedera belum didedahkan pihak berkuasa China.
Sementara itu di Nepal, data awal Lembaga Pelancongan Nepal menunjukkan seramai 384 pelancong dan pengembara dilaporkan hilang, membabitkan 93 warga Nepal dan 291 warga asing.
Mereka yang hilang terdiri daripada warganegara India, Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Belanda, manakala kewarganegaraan 111 individu lagi masih belum dapat dikenal pasti.
Xi Arah Usaha Maksimum Cari Mangsa Hilang
Dalam perkembangan sama, Presiden China, Xi Jinping mengarahkan pihak berkuasa tempatan supaya menggembleng segala usaha bagi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang.
Beliau turut mengarahkan penduduk di kawasan berisiko dipindahkan, mangsa cedera diberikan rawatan segera serta segala langkah diambil bagi mengurangkan jumlah korban.
Xi juga menekankan kepentingan memperkukuh sistem pemantauan dan amaran awal, selain memastikan operasi menyelamat dilaksanakan dengan mengambil kira risiko bencana susulan.
Anggota tentera dan Pasukan Polis Bersenjata China turut dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat dan bantuan kecemasan.
Pihak berkuasa turut menutup jalan menuju ke pusat pemeriksaan Gyirong selama tujuh hari susulan kejadian berkenaan.
Syarikat pembinaan dan respons kecemasan milik kerajaan China, China Anneng Construction Group, pula dilaporkan menghantar 200 anggota penyelamat ke kawasan bencana bersama ahli geologi dan jurutera.
Seramai 100 anggota lagi berada dalam keadaan bersiap sedia untuk dikerahkan sekiranya diperlukan.
Pasukan yang dihantar turut membawa pelbagai jentera pembinaan serta peralatan canggih termasuk dron peninjau, pengimbas laser tiga dimensi dan alat pengesan mangsa.
Kedutaan China di Nepal juga telah mengaktifkan mekanisme respons kecemasan serta menjalankan pemeriksaan terhadap keselamatan warganegara dan syarikat China yang berada di kawasan bencana.
Kedutaan itu turut menyeru kerajaan Nepal melaksanakan operasi menyelamat secara menyeluruh.
Gyirong Port merupakan pelabuhan perdagangan asing utama Tibet dan mengendalikan sebahagian besar perdagangan China dengan Nepal.
Kawasan itu juga menjadi laluan penting kepada pelancong yang menuju ke wilayah sekitar Langtang serta pengembara yang melalui Rasuwagadhi untuk ke Gunung Kailash dan Tasik Mansarovar di China.

