Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Taufan Super Bavi 'Hentam' Pulau Rota
Taufan Super Bavi yang membawa kekuatan setanding taufan kategori 5 melanda pulau Rota, wilayah Amerika Syarikat (AS) di Lautan Pasifik pada Isnin.
Lapor AFP, pihak berkuasa tempatan memberi amaran bahawa bencana itu berisiko menyebabkan kemusnahan besar selain mengancam nyawa pendudu
Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat (NWS), bahagian dinding mata taufan (eyewall) bergerak merentasi pulau itu dengan kelajuan angin mencecah 290 kilometer sejam (km/j).
NWS memaklumkan angin berkelajuan melebihi 240 km/j dijangka terus membadai Rota ketika mata taufan melintasi kawasan berkenaan, sekali gus berpotensi menyebabkan kemusnahan yang sangat teruk.
Selain Rota, taufan itu turut membawa hujan lebat dan angin kencang ke beberapa kawasan lain di Kepulauan Mariana Utara serta wilayah berhampiran, Guam, yang mempunyai jumlah penduduk sekitar 210,000 orang.
Rota, pulau paling selatan dalam gugusan Kepulauan Mariana Utara, hanya dihuni kira-kira 1,500 penduduk.
Sebelum Bavi melanda, NWS memberi amaran bahawa sekiranya taufan itu membadai secara langsung, sebahagian besar Rota berkemungkinan menjadi tidak sesuai didiami selama beberapa minggu atau lebih lama.
Rumah yang tidak dibina menggunakan konkrit atau tidak mempunyai struktur kukuh dijangka musnah, termasuk mengalami keruntuhan bumbung dan dinding.
Agensi itu turut menjangkakan hampir semua pokok akan tumbang atau tercabut. Manakala, tiang elektrik akan rebah sehingga mengakibatkan kawasan perumahan terputus hubungan.
Bekalan elektrik pula dijangka terputus selama beberapa minggu, malah mungkin berlanjutan sehingga beberapa bulan.
Ketika taufan mula membadai pada Isnin, pihak berkuasa tempatan memaklumkan mereka sudah menerima laporan awal mengenai kerosakan besar.
Pegawai Penerangan Pusat Operasi Datuk Bandar Rota, Lou Rosario, berkata pusat operasi sedang berdepan angin kencang dan banjir.
Sementara itu, Datuk Bandar Rota, Aubry Hocog, sebelum ini menggesa penduduk mengambil semua langkah berjaga-jaga bagi melindungi keluarga dan komuniti.
Beliau turut berharap semua penduduk dapat melalui bencana itu dengan selamat.
Di Guam, kebanyakan premis perniagaan ditutup lebih awal, manakala tingkap bangunan dipasang papan lapis sebagai langkah perlindungan.
Bavi merupakan taufan besar kedua yang melanda kawasan itu dalam tempoh beberapa bulan selepas Taufan Super Sinlaku menyebabkan kerosakan besar pada April lalu.
Pada 2023, Taufan Mawar, antara taufan paling kuat dalam beberapa dekad, turut mengakibatkan kemusnahan besar di wilayah berkenaan.
Pakar turut mengaitkan peningkatan kekuatan taufan tropika dengan suhu lautan yang semakin panas.
Perkhidmatan Marin Copernicus Kesatuan Eropah sebelum ini melaporkan dunia merekodkan suhu laut paling tinggi bagi bulan Jun.
Manakala Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) memberi amaran bahawa fenomena El Nino yang kini berkembang di Lautan Pasifik berpotensi menjadi kuat.
Keadaan itu boleh meningkatkan tenaga taufan tropika, sekali gus menyebabkan angin lebih kencang dan hujan yang lebih lebat.