Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Mayat Juruterbang AS Dibawa Keluar Selepas Disyaki Ditembak Di Papua

Mayat Juruterbang AS
Kredit: CNA

Mayat Juruterbang AS Dibawa Keluar Selepas Disyaki Ditembak Di Papua

Sebuah kumpulan pemberontak di wilayah paling timur Indonesia, Papua, berkata anggotanya telah membunuh seorang juruterbang warga Amerika Syarikat di sebuah landasan udara terpencil pada Khamis, lapor AFP.

Jurucakap Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat, Sebby Sambom, berkata juruterbang yang dikenal pasti sebagai Nicholas F. Gosselin telah melanggar larangan penerbangan awam di wilayah itu yang dikeluarkan sendiri oleh kumpulan pemberontak berkenaan.

Kumpulan itu mendakwa penerbangan awam di kawasan tersebut telah memberi sokongan kepada operasi ketenteraan Indonesia.

Menurut laporan CNN Indonesia, juruterbang itu disyaki menjadi mangsa tembakan oleh anggota Organisasi Papua Merdeka (OPM).

Ketua Penerangan Koops TNI Habema, Leftenan Kolonel M. Wirya Arthadiguna berkata OPM juga membakar pesawat tersebut.

Pesawat bawa tujuh penumpang

Pesawat itu berlepas dari Wamena ke Yahukimo bersama seorang juruterbang dan tujuh penumpang, yang kesemuanya rakyat Papua.

Kesemua penumpang dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Ketua Pengarah Pengangkutan Udara di Kementerian Pengangkutan, Lukman F. Laisa berkata bahawa pesawat perintis itu dilaporkan telah tiba di Lapangan Terbang Balinggama pada jam 6.46 pagi.

Beliau mengesahkan keadaan cuaca di laluan itu juga dilaporkan baik sebelum penerbangan.

Bagaimanapun, selepas juruterbang melaporkan bahawa pesawat telah mendarat, komunikasi dari pos kawasan lapangan terbang dilaporkan terputus.

Mayat berjaya dibawa keluar

Sementara itu, operasi khas telah dijalankan oleh Tentera Nasional Indonesia (TNI) untuk mengawal dan memastikan lapangan terbang selamat sebagai pintu masuk bantuan.

Di samping itu, mereka menjalankan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) untuk memindahkan mangsa dan memastikan keselamatan masyarakat di sekitar lokasi.

Usaha untuk memindahkan mayat Nicholas gagal pada hari pertama akibat cuaca buruk yang menghalang penerbangan ke tempat kejadian.

Namun, mayat mangsa akhirnya berjaya dipindahkan dari kawasan Lapangan Terbang Ipdeheik, yang terletak pada ketinggian sekitar 2,292 meter dari paras laut, selepas lokasi tersebut diyakini selamat.

Dalam pada itu, kerajaan Indonesia mengutuk sekerasnya kejadian penembakan itu.

Kerajaan juga menegaskan bahawa tindakan ini merupakan satu keganasan yang tidak wajar dan menuntut agar pelaku didakwa mengikut undang-undang.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Republik Indonesia, Djamari Chaniago, menyatakan bahawa sejak menerima maklumat awal mengenai kejadian itu, pejabatnya terus memantau dan melaksanakan langkah-langkah penyelarasan dengan TNI, Kepolisian Negara Republik Indonesia (Polri) dan kementerian serta agensi berkaitan.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk keganasan atau tindakan kejam terhadap komuniti atau kemudahan pengangkutan udara yang merupakan nadi perkhidmatan untuk kehidupan rakyat Papua.