Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ratu pop Amerika Syarikat, Taylor Swift dan bintang NFL, Travis Kelce, secara rasmi berkahwin pada Jumaat dalam sebuah majlis perkahwinan mewah.
Memetik laporan AFP, majlis itu juga menghimpunkan deretan selebriti ternama di New York, sekali gus memeterai hubungan yang sebelum ini mencetuskan perhatian luar biasa di seluruh dunia.
Keterujaan menyelubungi momen yang digelar sebagai 'perkahwinan diraja' itu. Ia berlangsung pada hujung minggu ulang tahun ke-250 AS.
Namun, jurucakap lama penyanyi itu, Tree Paine, akhirnya mendedahkan pada lewat Jumaat mengenai sebuah majlis mewah dan intim, tanpa menyatakan secara tepat bila pasangan itu bernikah.
“Taylor dan Travis tidak mempunyai pengapit perempuan atau lelaki. Sebaliknya, abang Taylor, Austin Swift, bertindak sebagai Man of Honor Taylor, manakala Jason Kelce menjadi Best Man Travis.
"Majlis itu menyatukan kedua-dua keluarga dan disempurnakan oleh rakan mereka, Adam Sandler,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata busana perkahwinan pasangan itu dihasilkan oleh Christian Dior Haute Couture, manakala kasut mereka ditempah khas daripada Christian Louboutin. Swift pula mengenakan barang kemas Cartier.
Tidak lama sebelum pengumuman itu dibuat, sebuah skrin gergasi di luar Madison Square Garden memaparkan mesej “JUST&T MARRIED!”, dengan T&T merujuk kepada Taylor dan Travis.

Menjelang acara besar pada Jumaat itu, sekumpulan Swifties iaitu gelaran untuk peminat Taylor bersorak dan menyanyikan lagu-lagunya di luar arena ketika deretan SUV hitam menghantar tetamu ke lokasi majlis.
“Saya membesar dengan muziknya dan saya sangat teruja dapat berada di New York hari ini sempena hari perkahwinannya,” kata Mayan Menahem, 31, kepada AFP di Manhattan.
Kira-kira 1,000 tetamu, yang dilaporkan dilarang membawa telefon, dijangka menghadiri majlis perkahwinan penuh rahsia itu.
Antara bintang yang hadir ke lokasi termasuk model Gigi Hadid, pelakon Hugh Grant, Bradley Cooper dan Dakota Johnson, serta figura pop Benson Boone dan Camila Cabello.