Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang menetapkan penjualan tiket bas ekspres hanya melalui terminal berlesen APAD bermula 1 November depan.
Menerusi kenyataan media bertarikh 19 Oktober, syarikat pengendali TBS, Terminal Management and Services Sdn. Bhd. (TMAS) menyifatkan keputusan tersebut sebagai langkah positif dalam memperkukuh pengurusan terminal bas ekspres di negara ini.
“TMAS berpandangan bahawa keputusan ini merupakan langkah positif ke arah memperkukuhkan tadbir urus terminal bas ekspres melalui operasi penjualan tiket yang lebih telus dan teratur.
“Pemberian hak penjualan tiket kepada terminal berlesen bukan sekadar keistimewaan komersial, sebaliknya meletakkan tanggungjawab kepada pihak terminal untuk memastikan pengurusan penumpang, jadual perjalanan dan pelepasan bas dilaksanakan secara lebih cekap serta sistematik,” katanya.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata dasar tersebut turut membolehkan pihak terminal mempunyai keupayaan yang lebih berkesan untuk memantau harga tiket dengan lebih jelas.
Ia juga memastikan pematuhan terhadap kadar tambang yang ditetapkan serta mengawal aktiviti penjualan tiket yang tidak mematuhi peraturan dan standard pihak kerajaan.
“Inisiatif ini juga dapat meningkatkan ketelusan transaksi kepada pengguna dan menawarkan caj komersial yang lebih bersesuaian kepada pengendali bas ekspres.
“TMAS juga percaya bahawa pelaksanaan dasar ini melalui Sistem Tiket Bersepadu (CTS) akan membanteras kegiatan penjualan tiket yang tidak sah dan akan membuka peluang kerjasama komersial yang lebih kompetitif kepada syarikat pengendali bas ekspres melalui integrasi secara langsung dengan sistem terminal,” ujarnya.
Tambah TMAS, pihaknya akan terus memberikan sokongan dan kerjasama penuh kepada Kementerian Pengangkutan (MOT), APAD serta pengendali bas ekspres bagi memperkukuhkan ekosistem pengangkutan awam darat yang lebih profesional, berdaya saing dan berpaksikan kepentingan pengguna, industri serta negara.

