Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tech Startup: MOSTI Perkukuh Ekosistem Usahawan Teknologi Negara
BACHOK, 14 Oktober 2025 — Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meneruskan penganjuran MOSTI Tech Talks siri ke-6 dengan topik ‘Tech Startup’ bertempat di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok, Kelantan.
Dalam ucapannya, YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menegaskan bahawa MOSTI komited untuk terus memperkukuh ekosistem syarikat pemula negara melalui pelaksanaan Malaysia Startup Ecosystem Roadmap (SUPER) dan KL20 Action Plan.
Usaha ini bukan sekadar melahirkan lebih ramai usahawan teknologi tempatan tetapi juga membuka ruang kepada pelaburan global dan pembangunan deep-tech yang mampu menjana pekerjaan berkemahiran tinggi serta mengukuhkan daya saing Malaysia di peringkat ASEAN dan antarabangsa.
Program diteruskan dengan perkongsian oleh YB Menteri sebagai panel utama yang membincangkan isu dan potensi pembangunan syarikat pemula teknologi di Malaysia.
Seterusnya sesi panel kedua menampilkan Encik Ahmad Luqman bin Adan, Ketua Pegawai Eksekutif, Menselin Green Energy Sdn. Bhd., sebuah syarikat tempatan berasaskan teknologi hijau yang membangunkan inovasi Plastic-to-Fuel (PTF) bagi menukar sisa plastik kepada minyak diesel gred Euro5 (EN590).
Melalui proses fractional de-polymerization, teknologi ini mampu menghasilkan sehingga 80% minyak bahan api daripada setiap satu tan sisa plastik yang diproses. Produk yang dinamakan ‘Green Diesel’ ini merupakan minyak diesel berteknologi hijau berkualiti tinggi yang rendah sulfur dan bernilai cetane tinggi sekaligus menawarkan prestasi enjin lebih baik dan pelepasan karbon lebih rendah berbanding diesel konvensional.
Segmen terakhir adalah sesi soal jawab interaktif panel bersama peserta yang dikendalikan oleh YBrs. Ts. Adam Ramskay Pengurus Kanan, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd.
Selaras dengan prinsip MADANI sebagai panduan dan fokus MOSTI yang berteraskan kepada konsep P.R.E.C.I.SE – People Centric, R&D, Enculturate, Capacity Building, Investment dan Start-ups Ecosystem yang diperkenalkan oleh YB Menteri sejak tahun 2023, setiap program yang dilaksanakan hendaklah memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Pendekatan ini memastikan sains, teknologi dan inovasi (STI) dapat dirasai dan dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat dalam kehidupan seharian.
Bagi menyokong aspirasi ini, siri MOSTI Tech Talks 2025 yang dicadangkan oleh YB Menteri diwujudkan sebagai platform untuk memperkukuhkan pembudayaan STI melalui perkongsian idea, pengalaman dan inspirasi antara kepimpinan Kementerian, industri dan komuniti akademik.
Program MOSTI Tech Talks siri ke-6 turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi MOSTI, warga UMK serta lebih 300 peserta terdiri daripada kakitangan dan pelajar universiti.
Penganjuran ini mencerminkan komitmen MOSTI dalam memperluas capaian ilmu STI dan memupuk interaksi langsung antara kerajaan, akademia dan masyarakat tempatan.