Teknik Solekan Jelmaan ‘Hantu’ Pelajar Vokasional Jadi Tumpuan Pengunjung
JEMPOL, 8 Okt (Bernama) — Solekan jelmaan ‘hantu’ hasil kreativiti pelajar Kolej Vokasional Dato’ Undang Haji Muhamad Sharip, menjadi tumpuan pengunjung pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Sembilan di Bandar Seri Jempol, di sini.
Dalam masa sejam setengah pelajar tahun tiga jurusan Diploma Kosmotelogi itu, begitu teliti dalam menghasilkan wajah seram seperti dipertontonkan dalam filem tempatan dan antarabangsa.
Tinjauan Bernama di pentas mini Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bersempena Jelajah AKM kali ini mendapati ramai pengunjung mengambil peluang melihat teknik solekan tersebut dan bergambar bersama model yang disolek dengan pelbagai karakter seram itu.
Nurul Asyiqin Lai Mujiburahman, 19, berkata dia menggunakan mentega kacang, gliserin dan pewarna merah bagi menampakkan kesan seperti darah yang sebenar pada wajah model.
“Kami mengambil masa kira-kira sejam setengah untuk solekan ini, kami baru belajar subjek ini, pensyarah hanya memberikan panduan asas solekan sahaja, selebihnya kreativiti masing-masing.
“Jelajah AKM ini satu platform yang baik, kami dapat mengetengahkan bakat kami dalam bidang ini, selain itu dapat menyakinkan pengunjung bidang kami ceburi ini mempunyai kelebihan tersendiri,” katanya kepada Bernama.
Pensyarah Kolej Vokasional Dato’ Undang Haji Muhamad Sharip Rembau, Maslina Mauluf berkata seramai 30 pelajarnya mempelajari pelbagai teknik solekan mengikut kreativiti masing-masing.
“Bagi menampakkan hasil yang ‘real’, pelbagai teknik dan bahan perlu digunakan, antaranya ‘scar wax’, darah tiruan dan ‘SFX Lateks’ (solekan kesan khas) dan menggunakan ‘pro adhesive gum’ dalam solekan.
“Saya juga teruja apabila hasil teknik solekan mereka ini mendapat sambutan baik di program Jelajah AKM di sini,” katanya.
Beliau berkata terdapat beberapa pelajarnya yang telah tamat pengajian dapat meraih pendapatan ribuan ringgit, hasil pengajian jurusan tersebut.
Katanya setiap pelajar bagi jurusan tersebut mempunyai skill serta kreativiti tersendiri, dan berbakat besar dalam industri seni.
Sumber: BERNAMA
