Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Teleskop Webb NASA Berjaya Temui Galaksi Paling Jauh Yang Diketahui

Athirah
webb temui galaksi paling jauh
Gambar: NASA

Teleskop Webb NASA Berjaya Temui Galaksi Paling Jauh Yang Diketahui

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) baru-baru ini mengumumkan bahawa Teleskop Angkasa James Webb (JWST) berjaya memecahkan rekod dengan mengesan galaksi paling jauh yang diketahui setakat ini.

Penemuan itu dibuat menerusi penggunaan cermin utama berukuran 6.5 meter lebar dan instrumen inframerah sensitif yang ada pada JWST.

Dinamakan sebagai JADES-GS-z14-0, galaksi berkenaan ditemui ketika ia hanya 290 juta tahun selepas kejadian Big Bang.

Menurut BBC, dengan kata lain, jika alam semesta ini dianggarkan berusia 13.8 bilion tahun, ini bermakna manusia melihat galaksi tersebut ketika alam semesta hanya berusia 2 peratus daripada usia semasanya.

Rekod terdahulu yang dipegang oleh teleskop berkenaan adalah galaksi yang dilihat pada 325 juta tahun selepas Big Bang.

Teleskop James Webb temui galaksi paling jauh diketahui setakat ini

Dalam pada itu, ahli astronomi berkata, aspek yang paling menarik mengenai penemuan ini bagaimanapun bukanlah terletak pada jarak galaksi tersebut. Sebaliknya, mereka lebih tertarik dengan aspek saiz dan kecerahan galaksi berkenaan.

JWST mengukur bahawa saiz rentas galaksi berkenaan adalah melebihi 1,600 tahun cahaya.

Manakala kebanyakan galaksi yang terang menjana majoriti cahayanya menerusi gas yang jatuh ke dalam lohong hitam supermasif.

Bagaimanapun, situasi itu berbeza dengan JADES-GS-z14-0. Ahli astronomi sebaliknya percaya cahaya yang dihasilkan oleh galaksi berkenaan berasal daripada bintang muda.

Berdasarkan maklumat itu, ahli astronomi mengandaikan bahawa jisim galaksi berkenaan berkemungkinan adalah beratus juta kali lebih tinggi dari jisim Matahari.

Namun begitu, ahli astronomi juga tertanya-tanya bagaimanakah sebuah galaksi yang sangat besar dan terang itu boleh terbentuk dalam tempoh kurang daripada 300 juta tahun.

Mengenai penamaan JADES-GS-z14-0

Menurut BBC, JADES adalah singkatan kepada “JWST Advanced Deep Extragalactic Survey”. Ia merupakan salah satu daripada beberapa program yang menggunakan teleskop berkenaan untuk menyiasat beberapa ratus juta tahun terawal alam semesta.

Manakala “z14” pula merujuk kepada Redshift 14. Ia merupakan terma yang digunakan oleh ahli astronomi untuk menggambarkan jarak.

Secara asasnya, ia adalah ukuran bagaimana cahaya yang berasal daripada galaksi yang terletak sangat jauh telah diregangkan kepada panjang gelombang yang lebih panjang akibat alam semesta yang mengembang.

Apabila semakin jauh jaraknya, maka semakin panjanglah regangannya. Cahaya daripada galaksi terawal akan meregang daripada ultraviolet dan panjang gelombang yang boleh dilihat kepada inframerah.

Ia adalah bahagian spektrum elektromagnet dimana instrumen cermin dan inframerah JWST ditalakan secara khusus.

BACA: Pelajar Malaysia Pertama Terima “Master” Hadis Kuliah Ulum Islamiah Universiti Al-Azhar

Sumber: BBC, NASA