Tengah Berjalan Di Bazar Ramadan, Minah Saleh 'Hairan' Ramai Berhenti, Ambil Gambar
Tiba sahaja bulan Ramadan, bazar Ramadan pasti menjadi destinasi wajib yang dibanjiri orang ramai.
Seawal petang lagi, kawasan ini sudah mula sesak dengan pengunjung yang tidak sabar mencari juadah berbuka puasa.
Deretan gerai yang berwarna-warni menampilkan pelbagai pilihan makanan dan minuman yang menggoda selera.
Menariknya, terdapat juga juadah istimewa yang sukar ditemui pada hari-hari biasa, menjadikan bazar Ramadan lebih dinanti-nantikan setiap tahun.
Bahkan ia menjadi salah satu tarikan buat pelancong luar ketika Ramadan.
Hairan Ramai Yang Berhenti Nak Ambil Gambar
Baru-baru ini tular video seorang minah saleh berkongsi pengalamannya berkunjung ke sebuah bazar ramadan.
Menariknya, sewaktu berjalan menelusuri deretan gerai, dia hairan mengapa ramai pengunjung tiba-tiba berhenti dan mula mengambil gambar.
Situasi itu menyebabkan dia bersangka bakal menemui artis di lokasi berkenaan, namun lain pula yang jadi.
“Saya dekat bazar ramadan dan secara tiba-tiba semua orang berhenti dan mula ambil gambar.
“Saya macam 'alamak mungkin selebriti tapi tidak' tengok..,” selorohnya.
Rupanya King Oyen 'Turun Padang' Di Bazar Ramadan
Persoalan minah saleh itu akhirnya terbongkar apabila suasana 'kecoh' itu berpunca daripada seekor kucing yang duduk di dalam stroller.
Lebih mencuri tumpuan, kucing berwarna oren itu siap berkaca mata hitam dan tenang ketika ramai pengunjung mengambil gambar.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen rata-rata netizen turut terhibur melihat klip berkenaan.
Malah ada yang berkata itulah selebriti sebenarnya.
“Itulah selebriti sebenarnya,” komen seorang pengguna.
“King Oyen muka ketat,” seloroh seorang lagi.
“Sejujurnya, kucing itu bintang pop terkenal di Malaysia,” komen seorang lagi.

