Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tengah Sikat Rambut Anak Saudara, Ratu Cantik Maut Disambar Petir

Ratu Cantik Maut Disambar Petir
Kredit: Daily Mirror

Brazil - Ratu cantik, Ana Beatriz Araújo Ferreira, 22, meninggal dunia selepas disambar petir ketika sedang menyikat rambut anak saudaranya di halaman rumah ibunya di Almas, negeri Tocantins.

Menurut laporan Daily Mirror, kejadian itu berlaku pada Sabtu (3 Oktober) ketika Ana sedang meluangkan masa bersama keluarganya.

Mangsa yang juga pelajar fisioterapi dilaporkan masih hidup ketika dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia pada hari yang sama akibat kecederaan dialaminya.

Menurut kakaknya, Lana Letícia, halaman rumah ibu mereka mempunyai beberapa batang pokok serta sebuah kawasan kecil di bahagian belakang yang dilengkapi tempat mencuci pakaian.

Sebelum kejadian, Ana dikatakan baru selesai memandikan anak lelakinya, Luiz Henrique, yang berusia lima tahun sebelum menyuruh kanak-kanak itu masuk ke dalam rumah.

Ana kemudian kekal berada di luar rumah untuk memandikan anak perempuan abangnya.

“Dia sedang menyikat rambut anak saudara saya ketika petir menyambarnya,” kata Lana.

Kredit: Daily Mirror

Sementara itu, abang mangsa, César Augusto berkata, kejadian tersebut berlaku dalam sekelip mata ketika keadaan cuaca hanya mendung dan hujan renyai-renyai.

“Ketika itu cuaca mendung dan hujan renyai-renyai turun dengan begitu tenang,” katanya.

Ana yang turut dikenali sebagai Aninha merupakan Ratu Rodeo ExpoAlmas 2026 dan sedang mengikuti pengajian dalam bidang fisioterapi di Universiti Norte do Paraná.

Difahamkan, mangsa baru sahaja memulakan semester pertama pengajiannya.

Ibu baptisnya, Marcella Batista menyifatkan Ana sebagai seorang ibu yang penyayang dan sangat mementingkan keluarga.

“Dia seorang ibu yang sangat baik dan penyayang. Dia sangat mementingkan keluarga.

“Dia sentiasa datang menghabiskan hujung minggu bersama ibunya, menjaga adik-beradiknya, menguruskan rambut mereka dan memasak makanan yang enak,” katanya.

César pula menyifatkan pemergian Ana sebagai kehilangan besar buat keluarga mereka kerana mangsa merupakan antara individu yang menjadi tulang belakang keluarga.

“Aninha sentiasa menjadi antara insan paling cantik yang pernah saya kenali dalam hidup saya,” katanya lagi.

Ratu cantik maut disambar petir

Ana meninggalkan seorang anak lelaki berusia lima tahun, ibu bapa serta enam adik-beradik tiri di sebelah ibunya.

Upacara penghormatan terakhir diadakan pada Ahad di rumah keluarganya sebelum mangsa dikebumikan pada pagi Isnin di tanah perkuburan tempatan.

Polis di Almas kini sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.

Intipati
  • Ana Beatriz Araújo Ferreira meninggal dunia selepas disambar petir di Almas, Tocantins.
  • Kejadian berlaku ketika Ana menyikat rambut anak saudaranya di halaman rumah ibunya.
  • Mangsa merupakan Ratu Rodeo ExpoAlmas 2026 dan pelajar fisioterapi semester pertama.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan