Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Terhempas Di Lautan Atlantik 74 Tahun Lalu, Bangkai Pesawat Akhirnya Ditemukan

Terhempas Di Lautan Atlantik
Kredit: Pan Am Historical Foundation & Air/Sea Heritage Foundation and Deep Sea Vision

Terhempas Di Lautan Atlantik 74 Tahun Lalu, Bangkai Pesawat Akhirnya Ditemukan

Bangkai sebuah pesawat Pan American Airways ditemukan 74 tahun selepas ia terhempas ke Lautan Atlantik.

Menurut BBC, pesawat Clipper Endeavor ditemukan pada kedalaman 2,000 kaki (610 meter) di luar pantai Puerto Rico menggunakan dron yang dilengkapi teknologi sonar.

Pesawat itu terhempas pada 11 April 1952 selepas mengalami kegagalan beberapa enjin sejurus berlepas.

Semua individu di dalam pesawat terselamat ketika pesawat melakukan pendaratan kecemasan di permukaan air.

Bagaimanapun, penumpang bergelut mencari jaket keselamatan dan rakit ketika pesawat itu tenggelam dengan pantas.

Kredit: Pan Am Historical Foundation

Daripada keseluruhan 69 penumpang dan anak kapal, hanya 17 orang terselamat.

Tragedi jadi pemangkin perubahan aspek keselamatan penerbangan

Tragedi tersebut membawa kepada perubahan besar dalam aspek keselamatan penerbangan, termasuk pelaksanaan taklimat keselamatan wajib sebelum berlepas bagi setiap penerbangan komersial.

Ekspedisi mencari bangkai pesawat itu diketuai oleh Air/Sea Heritage Foundation dengan kerjasama rancangan Expedition Unknown terbitan Discovery Channel serta beberapa organisasi lain.

Pada bulan lalu, pasukan peneroka menemukan bangkai pesawat Douglas DC-4 itu menggunakan dron sonar autonomi yang mengesan fiuslaj dan bahagian ekornya.

“Kami semua terkejut dan gembira dengan penemuan ini, namun pada masa sama berasa insaf apabila mengenangkan kejadian yang berlaku di lokasi tersebut sekian lama dahulu,” kata Presiden Air/Sea Heritage Foundation, Russ Matthews.

Kredit: Air/Sea Heritage Foundation and Deep Sea Vision

Pesawat berkenaan membawa 64 penumpang dan lima anak kapal menuju ke New York ketika juruterbangnya terpaksa melakukan pendaratan kecemasan yang kuat di permukaan air.

Pakar keselamatan penerbangan, John Cox memberitahu bahawa kekeliruan yang berlaku selepas kejadian itu menjadi pemangkin kepada peraturan keselamatan moden yang mewajibkan pesawat dilengkapi peralatan apungan lebih baik serta taklimat sebelum penerbangan mengenai cara menggunakannya.

Hari ini, sebelum setiap penerbangan komersial, kru kabin diwajibkan menerangkan lokasi pintu keluar pesawat, kedudukan jaket keselamatan dan cara mengembangkannya.

“Setiap kali anda menaiki pesawat hari ini, anda berada dalam keadaan lebih selamat disebabkan apa yang berlaku kepada Clipper Endeavor dan para penumpangnya hampir tiga suku abad lalu,” kata pengacara Expedition Unknown, Josh Gates.

Sementara itu, penyelidik turut menggunakan rekod sejarah dan data cuaca ketika nahas untuk mengenal pasti kawasan seluas 10 batu nautika persegi di dasar Lautan Atlantik yang dipercayai menjadi lokasi bangkai pesawat tersebut.

Usaha mengesan bangkai pesawat itu pada 2024 terpaksa dihentikan akibat cuaca buruk. Bagaimanapun, Matthews berkata pasukannya bertekad untuk kembali sebelum ulang tahun ke-75 tragedi berkenaan.

Dron tersebut menemukan bangkai pesawat yang terpisah kepada dua bahagian ketika melakukan imbasan pertama di kawasan pencarian pada 2 Jun.

Kredit: Air/Sea Heritage Foundation and Deep Sea Vision

Tinjauan fotografi susulan mengesahkan bahawa bangkai berkenaan ialah Clipper Endeavor. Imej yang dirakam menunjukkan logo Pan Am dan nama pesawat itu masih kelihatan pada fiuslajnya.

“Berpeluang menyaksikan sendiri perkembangan ekspedisi seperti ini adalah sesuatu yang luar biasa. Saya berasa amat bertuah kerana kami dapat menjadi sebahagian daripadanya,” kata Gates, yang berada di atas kapal penyelidikan ketika bangkai pesawat itu muncul pada skrin.

Sumber:BBC