Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Penari dari Sabah, Mohd Aydiel Izzuddin Madri berjaya mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara dunia dalam Dance World Cup Finals 2026 di Dublin, Ireland baru-baru ini.
Yolanda Dance Studio memaklumkan Aydiel menewaskan penari-penari lain dari seluruh dunia dalam kategori Senior Solo National and Folklore (Lelaki) dan meraih tempat pertama.
Aydiel turut merangkul penghormatan tertinggi pertandingan itu apabila dinobatkan sebagai Grand Finals Winner Senior Male 2026, iaitu gelaran yang diberikan kepada persembahan lelaki senior terbaik sepanjang Dance World Cup Finals.

"Kejayaan luar biasa ini membuktikan hasil daripada bertahun-tahun dedikasi, ketabahan serta semangat yang tidak pernah luntur dalam memelihara dan mengangkat budaya Malaysia menerusi seni tarian," kata studio itu.
Tambah studio itu lagi, Aydiel juga merupakan seorang pemimpin berwawasan.
Beliau merupakan pengasas dan ketua pasukan Illeagle Freedom, yang menjadi inspirasi kepada ramai penari menerusi kreativiti, kecemerlangan serta penceritaan budaya melalui tarian.

Selain itu, beliau turut berkhidmat sebagai Pengerusi Persatuan Arusan Tari Malaysia, dengan komitmen berterusan untuk memperkukuh dan mempromosikan seni tari Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Perjalanan beliau membuktikan bahawa warisan budaya kita mempunyai kekuatan tersendiri, kisah-kisah kita wajar diketengahkan dan anak seni Malaysia mampu berdiri megah di puncak dunia.
"Hari ini, Malaysia bukan sahaja meraikan seorang juara, malah seorang pemimpin, mentor dan sumber inspirasi kepada generasi akan datang.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan