Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lembaga Tabung Haji (TH) tidak bercadang memperkenalkan tawaran haji khas kepada mana-mana kategori tertentu termasuk pesara wajib yang menerima bayaran gratuiti, sebaliknya akan terus mengekalkan sistem giliran sedia ada bagi memastikan peluang menunaikan ibadah haji diberikan secara adil kepada semua pendeposit.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli berkata, tawaran haji ketika ini dibuat berdasarkan prinsip 'daftar dahulu, didahulukan' selaras dengan kuota haji yang diperuntukkan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Beliau berkata, pelaksanaan tawaran khas mengikut kategori tertentu berpotensi menjejaskan sistem giliran sedia ada serta memberi kesan kepada pendeposit yang telah lama menunggu giliran mereka.
“Pendekatan ini selaras dengan prinsip keadilan, ketelusan dan kesaksamaan dalam pengurusan giliran haji yang diamalkan oleh Tabung Haji sejak sekian lama.
“Sehubungan itu, Tabung Haji tidak melaksanakan tawaran haji khas mengikut kategori tertentu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang mewujudkan tawaran haji khas kepada pesara wajib yang berkemampuan dari segi kewangan tetapi masih perlu menunggu lama sehingga berisiko tidak sempat menunaikan ibadah haji.
Menurut Marhamah, kewajipan menunaikan haji tertakluk kepada konsep istitoah, iaitu kemampuan dari segi kewangan, kesihatan, keselamatan perjalanan serta memperoleh kuota dan kebenaran daripada Kerajaan Arab Saudi.
Katanya, setiap pendeposit yang mendaftar haji akan dimaklumkan mengenai tahun giliran masing-masing dan digalakkan membuat persediaan lebih awal dari aspek kewangan, kesihatan serta ilmu berkaitan ibadah haji.
“Bagi memastikan bakal jemaah mempunyai tahap kesiapsiagaan yang lebih baik, Tabung Haji menetapkan syarat minimum simpanan sebanyak RM15,000 sebelum surat tawaran haji dikeluarkan kepada bakal jemaah yang tiba giliran bermula musim haji tahun ini.
“Jumlah itu merupakan penanda aras kesiapsiagaan kewangan walaupun kos sebenar menunaikan haji bagi musim tersebut adalah RM33,300,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pendeposit yang belum tiba giliran masih boleh mengemukakan rayuan haji yang akan dipertimbangkan berdasarkan merit, syarat dan keutamaan yang ditetapkan oleh TH.
Menurutnya, tiga kategori diberi keutamaan dalam pertimbangan rayuan iaitu mahram kepada jemaah yang terpilih, pengiring kepada bakal haji berusia 75 tahun ke atas serta pengiring kepada orang kurang upaya (OKU) yang telah menerima tawaran.
Beliau berkata, antara kriteria lain yang turut diambil kira ialah tempoh pendaftaran haji, purata simpanan lima tahun, faktor umur, kekerapan membuat rayuan serta penyertaan dalam kursus haji.
“Keutamaan rayuan diberikan kepada pendeposit yang belum pernah menunaikan haji. Kelulusan pula tertakluk kepada merit, kuota haji yang diperuntukkan Kerajaan Arab Saudi serta bayaran kos haji penuh yang ditetapkan bagi musim haji berkenaan,” katanya.
Marhamah turut memaklumkan Malaysia memperoleh kuota sebanyak 33,600 jemaah pada musim haji ini, manakala sebarang tambahan kuota bergantung sepenuhnya kepada pertimbangan Kerajaan Arab Saudi.
Mengulas lanjut mengenai syarat simpanan minimum RM15,000, beliau berkata langkah itu berjaya mengurangkan kadar penangguhan tawaran haji kepada 18 peratus, berbanding kira-kira 50 peratus pada musim haji sebelumnya.
Menurutnya, syarat berkenaan bukan bertujuan menyukarkan atau menafikan peluang pendeposit, sebaliknya bagi memastikan bakal jemaah benar-benar bersedia dari segi kewangan selaras dengan konsep istitoah.
“Syarat ini yang diperkenalkan sejak musim haji ini ternyata berkesan apabila kadar penangguhan tawaran haji berjaya dikurangkan kepada 18 peratus berbanding sekitar 50 peratus pada musim haji lepas.
“Penurunan ini menunjukkan bahawa tahap simpanan merupakan indikator penting dalam menentukan kesiapsiagaan sebenar bakal haji untuk menerima tawaran dan menunaikan ibadah haji pada tahun giliran,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara).
Tambah beliau, TH turut memberi peringatan awal kepada bakal haji sehingga dua tahun sebelum tahun giliran bagi memberi ruang kepada mereka membuat persediaan dari segi kewangan, kesihatan dan kecergasan sebelum menerima tawaran.