Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

TH Perkenal Bas Ulang-Alik 24 Jam, Dari Hotel Penginapan Ke Masjid Untuk Jemaah Haji
Pergerakan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci kini menjadi lebih lancar dengan pengenalan perkhidmatan bas ulang alik percuma yang menghubungkan hotel penginapan dengan Masjidil Haram.
Inisiatif terbaru itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi memastikan kesejahteraan para jemaah haji negara sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata lapan buah bas disediakan khusus untuk tujuan tersebut sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan menyeluruh TH dalam memudahkan perjalanan jemaah haji ke masjid.
“Kesemua bas ini akan beroperasi sepanjang hari selama 24 jam dan ini merupakan bukti komitmen TH dalam melaksanakan penambahbaikan berterusan terhadap penyampaian perkhidmatan kepada jemaah haji untuk tahun ini,” kata beliau.
Perkhidmatan bas secara ulang alik ini akan beroperasi daripada Hotel Abraj Al Tayseer ke Stesyen Bas Jarwal yang terletak berhampiran Dataran Masjidil Haram.
“Dengan adanya perkhidmatan bas ini, jemaah kini mempunyai alternatif untuk bergerak ke masjid pada bila-bila masa dengan lebih baik, lebih mudah dan lebih lancar serta dapat membantu mereka lebih fokus terhadap ibadah di Tanah Suci,” jelas beliau lagi.
Tambah Mohd Hisham, inisiatif ini juga diharap dapat membantu memelihara tahap kesihatan para jemaah, terutamanya menjelang kemuncak musim haji iaitu hari wukuf memandangkan keadaan cuaca yang semakin panas di Tanah Suci.
Bagi musim haji 1447H/2026M ini, TH menyediakan lima bangunan penginapan di Makkah untuk menempatkan 31,600 orang jemaah.
Lima bangunan tersebut adalah Abraj Al Tayseer, Rehab Al Janadriyah, Al Kiswah Tower Hotel, Abraj Al Janadriyah dan Qasr Al Janadriyah.