Thailand Rancang Bina Jambatan Darat 'Potong' Selat Melaka
Thailand akan meneruskan projek mega bagi menghubungkan Lautan Hindi dan Pasifik menerusi projek “jambatan darat”, susulan ketegangan di Selat Hormuz yang menonjolkan kepentingan laluan perdagangan global.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn, berkata kerajaan akan mempercepatkan projek pembangunan itu yang dijangka menelan kos sehingga 1 trilion baht (RM122.2 bilion).
“Konflik di Asia Barat telah menunjukkan betapa pentingnya kawalan terhadap laluan pengangkutan,” katanya.
Difahamkan, projek berkenaan bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada Selat Melaka, yang kini mengendalikan kira-kira 40 peratus perdagangan global termasuk penghantaran minyak dari Asia Barat ke negara Asia seperti China, Jepun dan Korea Selatan.
Projek itu dijangka dapat memendekkan tempoh penghantaran sehingga empat hari dan mengurangkan kos logistik sekitar 15 peratus apabila siap kelak.
“Thailand akan mempunyai kelebihan besar sebagai penghubung antara Lautan Hindi dan Pasifik,” kata Encik Phiphat kepada pemberita pada lewat 27 April.
Pelan pembangunan itu melibatkan pembinaan dua pelabuhan laut baharu di kedua-dua sisi semenanjung selatan Thailand, yang akan dihubungkan melalui rangkaian lebuh raya dan landasan kereta api.
Sistem itu membolehkan barangan dipindahkan dengan lancar tanpa perlu melalui laluan laut yang sesak. Bagaimanapun, projek mega itu turut menerima pelbagai kritikan.
Penganalisis memberi amaran bahawa kos yang tinggi boleh menimbulkan persoalan tentang daya maju ekonomi jangka panjang.
Selain itu, pembangunan berskala besar di kawasan selatan Thailand dijangka memberi kesan kepada alam sekitar.
Walaupun begitu, kerajaan melihat projek itu sebagai pelaburan strategik jangka panjang.
Bagi mengatasi kekangan kewangan, kerajaan Thailand merancang membuka projek itu kepada pelaburan sektor swasta melalui proses tender.
Beberapa negara termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menunjukkan minat, manakala syarikat seperti DP World dan New World Development turut dikatakan berminat.
“Projek mega ini akan merangsang pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
“Kami menganggarkan sekitar 200,000 pekerjaan baharu boleh diwujudkan,” kata Phiphat lagi.
Sebelum pembinaan dapat dimulakan, kerajaan perlu meluluskan undang-undang berkaitan.
Beliau berkata Kabinet dijangka meluluskan rang undang-undang tersebut pada 2026.
Tempoh pembinaan projek dianggarkan mengambil masa sehingga 15 tahun.
