Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Iran Umum Tutup Semula Selat Hormuz Susulan Sekatan Laut AS
Pusat pemerintahan ketenteraan Iran mengumumkan pada Sabtu bahawa mereka akan menyambung semula 'kawalan ketat' di Selat Hormuz, sekali gus membatalkan keputusan untuk membuka laluan strategik itu sebagai sebahagian daripada rundingan dengan Washington, lapor AFP.
Dalam satu kenyataan yang dikongsi melalui televisyen negara, markas tersebut berkata bahawa Washington telah memungkiri janji dengan meneruskan sekatan laut terhadap kapal-kapal yang belayar ke dan dari pelabuhan Iran.
"Sehingga Amerika Syarikat memulihkan kebebasan pergerakan bagi semua kapal yang berkunjung ke pelabuhan Iran, keadaan di Selat Hormuz akan kekal dikawal secara ketat,” menurut kenyataan itu.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebelum ini berkata kedua-dua pihak sangat hampir untuk mencapai satu perjanjian, namun selepas pengumuman Iran pada Sabtu, beliau menegaskan bahawa Tehran tidak boleh memeras ugut AS, walaupun mengekalkan bahawa komunikasi masih berjalan.
Beliau juga menuduk Tehran bertindak 'sedikit licik' dengan langkah-langkah terbaru yang diumumkan.
Sementara itu, badan keselamatan tertinggi Iran memaklumkan bahawa semasa lawatan ketua tentera negara pengantara Pakistan yang berakhir pada Sabtu, cadangan baharu telah dikemukakan oleh pihak AS, yang kini sedang diteliti oleh Republik Islam Iran dan masih belum diberikan sebarang maklum balas.
Badan itu bagaimanapun menegaskan bahawa delegasi rundingan Iran tidak akan menawarkan walau sedikit pun kompromi, berundur atau kelonggaran dalam rundingan dengan AS.