Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Thailand Sekat Kemaraan Malaysia Ke Final Piala Srikandi Merdeka

Thailand Sekat Kemaraan Malaysia
Kredit: FAM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Hasrat skuad bawah 16 tahun (B-16) negara untuk mara ke final Piala Srikandi Merdeka 2026 di Indonesia tidak kesampaian selepas tewas 1-5 kepada Thailand hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Super Soccer Arena, Kudus, Indonesia itu, skuad Gajah Putih terlebih dahulu membuka tirai jaringan selepas pemain Malaysia Sofia Lacasse tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ketujuh.

Malang terus menimpa skuad negara apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Nisriena Batrissya dilayangkan kad merah pada minit ke-16.

Namun, kekurangan seorang pemain tidak mematahkan semangat Malaysia yang bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Nina Hasmaji pada minit ke-40, sekali gus memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 menuju waktu rehat.

Memasuki babak kedua, Thailand kembali di hadapan menerusi gol Kawinda Kikuntod pada minit ke-51 sebelum Kanokporn Wanthong menambah dua lagi jaringan pada minit ke-64 dan ke-73.

Pemain Thailand Zuzana Kordem melengkapkan kemenangan 5-1 lima minit sebelum tamat permainan, sekali gus mara ke final.

Terdahulu, Malaysia berjaya melangkah ke separuh akhir selepas membelasah Arab Saudi 9-0 untuk menamatkan saingan Kumpulan A selaku naib juara dengan penyerang pasukan negara Lim You mencuri tumpuan apabila meledak tujuh gol pada aksi berkenaan.

Intipati
  • Malaysia tewas 1-5 kepada Thailand dalam separuh akhir Piala Srikandi Merdeka 2026.
  • Skuad negara bermain 10 pemain selepas Nisriena Batrissya dilayangkan kad merah minit ke-16.
  • Thailand menjaringkan empat gol babak kedua untuk memastikan tempat ke final kejohanan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan