Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Thailand Siasat Dakwaan Pembelian Tanah Berkait Israel Di Sempadan

Pembelian Tanah Israel Di Sempadan
Kredit: Thaiger

Thailand akan menyiasat dakwaan syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel membeli tanah bernilai hampir 100 juta baht (RM12.2 juta) di tiga wilayah selatan negara itu, berhampiran sempadan Malaysia.

Memetik Thaiger, Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand, Polapee Suwanchawee berkata siasatan itu bertujuang mengenal pasti pemilik tanah, syarikat yang terlibat, sumber dana pembelian serta tujuan hartanah berkenaan diperoleh.

Beliau berkata, maklumat mengenai pembelian tanah itu disampaikan oleh beberapa Ahli Parlimen yang mendakwa wujud rangkaian melibatkan warga Israel serta syarikat berkaitan perniagaan tanah perkuburan dan sektor lain.

Polapee berkata, beliau bercadang untuk turun sendiri ke kawasan berkenaan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai pemilikan dan tujuan pembelian tanah tersebut.

Menurutnya, pihak berkuasa turut mahu meneliti aktiviti syarikat yang terlibat bagi memastikan ia tidak menimbulkan masalah dengan kepentingan agama atau komuniti setempat.

Thailand Siasat Dakwaan Pembelian Tanah Berkait Israel Di Sempadan

Bagaimanapun, dakwaan mengenai pembelian tanah itu masih dalam siasatan dan belum membuktikan wujudnya pelanggaran undang-undang atau pemilikan tanah secara tidak sah.

Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa Thailand kini memperluaskan pemeriksaan terhadap pusat Chabad di seluruh negara susulan kebimbangan berkaitan pemilikan tanah, permit pembinaan, sumber pembiayaan dan aktiviti premis berkenaan.

Polapee berkata, kira-kira lapan hingga sembilan pusat Chabad sedang diperiksa, termasuk premis yang telah beroperasi serta projek yang masih dalam pembinaan.

Gabenor wilayah turut diarahkan menyemak sama ada syarikat yang memegang tanah beroperasi mengikut undang-undang selain meneliti sumber kewangan yang digunakan untuk membangunkan projek terbabit.

Di Phuket, pemeriksaan mendapati terdapat beberapa isu berkaitan permit pembinaan termasuk kerja pengubahsuaian dan struktur yang dipercayai belum mendapat kelulusan sewajarnya.

Pengendali premis diberikan tempoh 30 hari untuk mengemukakan permohonan atau dokumen diperlukan, dengan struktur berkenaan boleh diarahkan untuk dirobohkan sekiranya gagal berbuat demikian.

Pemeriksaan sama turut menemukan produk import yang dijual tanpa label atau kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Thailand (FDA), sebelum agensi berkaitan mengambil langkah untuk menyita barangan berkenaan.

Sementara itu, pemeriksaan di beberapa pusat Chabad di Bangkok setakat ini tidak menemukan pelanggaran serius.

Di sebuah pusat Chabad di Jalan Phra Athit, pemeriksaan mendapati tiada pembinaan ruang bawah tanah seperti yang dilaporkan sebelum ini, manakala tingkat dua dan tiga digunakan sebagai tempat penginapan warga Israel.

Bagi projek Chabad House di Sukhumvit Soi 22 pula, bangunan itu dirancang mempunyai tiga tingkat parkir bawah tanah dan lima tingkat bangunan.

Polapee berkata, projek tersebut menggunakan prosedur pemberitahuan pembinaan atau pengubahsuaian di bawah Seksyen 39 bis Akta Kawalan Bangunan 1979.

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih meneliti kemungkinan isu berkaitan jarak bangunan dari jalan dan pemeriksaan lanjut akan diteruskan bersama pihak berkuasa Bangkok.

Di Krabi pula, penduduk sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai projek Chabad di kawasan berkenaan.

Polapee berkata, pihak pentadbiran wilayah dan gabenor perlu mendapatkan maklumat lengkap mengenai projek itu serta menjelaskan tujuannya kepada penduduk.

Sekiranya persoalan berkenaan tidak dapat diselesaikan di peringkat wilayah, beliau berkata akan turun sendiri untuk menjalankan pemeriksaan.