Iran tidak menginginkan peperangan dengan Amerika Syarikat (AS) dan masih bersedia meneruskan usaha mencapai persetujuan melalui rundingan, kata Presiden Iran Masoud Pezeshkian, lapor Anadolu Ajansı.
Mahu rundingan dengan AS
Dalam wawancara eksklusif bersama Fox News yang dikendalikan Bret Baier pada Khamis, Pezeshkian berkata Iran tidak memilih peperangan sebaliknya mendakwa konflik itu telah dikenakan terhadap negaranya.
“Kami tidak memilih perang. Perang itu dikenakan terhadap kami. Kami tidak menginginkan perang,” katanya ketika ditanya sama ada Iran memilih peperangan atau perjanjian.
Pezeshkian berkata Tehran masih bersedia meneruskan persetujuan dengan Washington, merujuk kepada memorandum persefahaman yang dicapai pada Jun dan menetapkan tempoh 60 hari bagi memuktamadkan perjanjian damai.
Bagaimanapun, usaha itu gagal susulan perbezaan berhubung isu pelayaran di Selat Hormuz.
“Kami memang telah mencapai persetujuan dengan presiden anda (Donald Trump). Berdasarkan perkara itu, kami bersedia dan masih mahu meneruskannya,” katanya.
Beliau berkata terpulang kepada AS untuk menentukan sama ada mahu menamatkan peperangan berkenaan.
Bersedia patuhi undang-undang antarabangsa
Ketika ditanya sama ada Iran bersedia melepaskan uranium yang diperkaya sehingga 60 peratus, Pezeshkian berkata negaranya akan mematuhi kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa serta Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear (NPT).
“Ya. Dalam kerangka undang-undang antarabangsa dan berdasarkan Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear, kami akan mematuhi apa sahaja yang diwajibkan terhadap kami,” katanya.
Dalam wawancara itu, Pezeshkian turut ditanya mengenai hubungan Iran dengan kumpulan Hezbollah di Lubnan dan Houthi di Yaman.
Ketika ditanya sama ada Iran akan menghentikan sokongan persenjataan kepada kedua-dua kumpulan itu sebagai sebahagian daripada perjanjian, termasuk meminta Houthi menghentikan serangan terhadap Arab Saudi, beliau berkata kumpulan Houthi bertindak secara bebas.
“Houthi bertanggungjawab terhadap tindakan mereka sendiri. Mereka tidak menerima arahan daripada kami,” katanya.
Nafikan Iran tutup Selat Hormuz
Pezeshkian turut menafikan dakwaan bahawa Iran menutup Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang menjadi antara laluan penting bagi perdagangan minyak dunia.
“Kami tidak pernah menutup Selat Hormuz. Ia terbuka,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Baier turut menyoal Pezeshkian mengenai Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, yang tidak dilihat secara terbuka sejak mengambil alih jawatan selepas bapanya, Ali Khamenei, terbunuh dalam serangan AS-Israel pada akhir Februari.
Pezeshkian berkata beliau telah bertemu Mojtaba secara bersemuka kira-kira sebulan lalu dan pertemuan itu berlangsung selama kira-kira tujuh jam.
Ditanya mengenai tahap kesihatan dan keupayaan Mojtaba untuk mentadbir Iran, Pezeshkian menjawab bahawa beliau berada dalam keadaan sihat dan mampu menjalankan tugasnya.
“Sangat sihat, sepenuhnya,” katanya.

