Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tiada Rundingan Dengan Iran Dirancang, Trump "Claim" Selat Hormuz 'Wilayah Baharu AS'

Trump
Kredit: AFP & Trump Truth Social

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa berkata tiada rundingan dengan Iran sedang berlangsung dan tiada rundingan dijadualkan, ketika beliau memuat naik peta yang menunjukkan Selat Hormuz sebagai wilayah baharu Amerika Syarikat dalam satu lagi sindiran terhadap Tehran, lapor AFP.

Trump terus menekan ancamannya untuk menuntut kedaulatan ke atas laluan perairan tenaga penting itu ketika perang Iran yang sudah hampir enam bulan berlarutan tanpa banyak tanda akan berakhir.

Utusan Trump yang juga menantunya, Jared Kushner, pada Isnin berkata AS dan Iran sedang mengadakan “perbualan yang sangat positif dan aktif”, namun presiden itu menafikan perkara tersebut.

“Tiada rundingan atau perbualan sedang berlangsung, atau dijadualkan, dengan Republik Islam Iran. Sekatan Laut kekal berkuat kuasa sepenuhnya.

“Selat Hormuz terbuka dan beroperasi. Semua periuk api laut telah dialihkan atau diletupkan.” tulis Trump di rangkaian Truth Social miliknya.

Sumber AS memberitahu AFP bahawa terdapat perbincangan positif dengan pihak Iran, namun menambah bahawa Trump memutuskan untuk menunggu dan meminta pasukannya supaya tidak meneruskan sebarang rundingan sehingga Iran bersedia mencapai persetujuan.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pertempuran dilaporkan reda, namun pada Selasa Emiriah Arab Bersatu (UAE) menuduh Iran melancarkan dua peluru berpandu balistik yang jatuh ke laut dengan sasaran terhadap “navigasi maritim”.

Bagaimanapun, Iran menafikan melancarkan peluru berpandu ke arah UAE.

Tidak lama selepas itu, UAE mengumumkan bahawa negara itu menghentikan semua perdagangan, pertukaran komersial dan transaksi kewangan dengan Iran susulan peningkatan ketegangan serantau.

UAE menerima kesan paling besar daripada serangan peluru berpandu dan dron Iran pada peringkat awal perang, namun tidak melaporkan sebarang serangan sejak AS dan Iran menandatangani memorandum persefahaman pada Jun yang bertujuan menghentikan pertempuran.

Terdahulu pada Selasa, Trump memuat naik satu peta di Truth Social yang menunjukkan Selat Hormuz sebagai “Wilayah Baharu AS”.

Kredit: Trump truth social

Iran secara efektif telah menutup laluan sempit itu, yang biasanya menjadi laluan kira-kira satu perlima minyak dunia, sebagai tindak balas terhadap perang yang dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel pada akhir Februari.

Pemimpin AS itu sekali lagi menyentuh idea tersebut pada Isnin ketika bercakap kepada wartawan di Pejabat Oval, dengan mencadangkan bahawa ia merupakan satu idea yang baik.

Ini bukan kali pertama Trump, apabila berdepan halangan dalam dasar luar, mengancam untuk mengilhakkan wilayah asing.

Sejak kembali berkuasa pada 2025, beliau pernah mengancam untuk menjadikan Kanada sebagai negeri ke-51 AS, merampas Greenland dan Cuba, malah turut membayangkan kemungkinan mengambil alih kawalan Semenanjung Gaza, namun tidak pernah melaksanakan mana-mana ancaman tersebut.

Trump Sangat Sabar - Kushner

Sebelum perang Iran tercetus pada 28 Februari, Selat Hormuz merupakan laluan perairan terbuka dengan pergerakan bebas.

Iran berkata ia tidak akan membuka semula selat tersebut sehingga Washington memenuhi beberapa tuntutan besar termasuk menamatkan sekatan AS terhadap pelabuhan Iran, menarik balik sekatan minyak, mencairkan semula aset Iran yang dibekukan serta membayar ganti rugi perang.

“Saya mahu menyatakan dengan jelas bahawa Selat Hormuz tidak akan dibuka sehingga komitmen Amerika yang ditetapkan dalam memorandum persefahaman... dilaksanakan,” kata ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen kerajaan.

Kushner memberitahu Fox News pada Isnin bahawa Trump “akan bersikap sangat sabar... beliau tidak mahu tergesa-gesa mencapai persetujuan”.

Namun, Tehran dilihat bersedia untuk terus menunggu sehingga tempoh penggal kedua Trump berakhir, ketika kadar sokongannya semakin menurun dan janjinya untuk memastikan Amerika Syarikat tidak terjebak dalam satu lagi “perang tanpa penghujung” semakin dipersoalkan.

Perang Iran telah menyebabkan harga barangan untuk pengguna AS meningkat menjelang pilihan raya pertengahan penggal penting pada November yang akan menentukan sama ada Parti Republikan pimpinan Trump dapat mengekalkan kawalan ke atas Kongres.

Trump menunjukkan tanda-tanda kecewa apabila pada Isnin mengancam untuk “mengebom habis-habisan” sekutu AS, Oman, sekiranya negara itu mengganggu usaha mencapai persetujuan berhubung Selat Hormuz.

Sementara itu, Qatar, yang merupakan pengantara utama dalam rundingan AS-Iran yang kini terbantut, berkata pada Selasa bahawa satu persetujuan antara Iran dan Oman mengenai Selat Hormuz akan memudahkan usaha menyambung semula rundingan bagi menamatkan perang di Asia Barat.

Intipati
  • Trump berkata tiada rundingan dengan Iran sedang berlangsung atau dijadualkan ketika ini.
  • Beliau memuat naik peta menunjukkan Selat Hormuz sebagai “Wilayah Baharu AS”.
  • UAE menuduh Iran melancarkan peluru berpandu, namun Tehran menafikan dakwaan tersebut.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan