Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Gara-gara diminta cerai, seorang suami bertindak membakar isterinya sendiri kerana tidak mahu menuruti permintaan wanita itu untuk berpisah dalam satu kejadian di Indonesia baru-baru ini, lapor Kompas.com.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Koja, AKP Yayan Heri Setiawan berkata, insiden itu dipercayai berlaku di rumah ibu bapa mangsa di Koja, Jakarta semasa mangsa ketika itu baru pulang dari Brebes, Jawa.
Jelas Yayan, mangsa ketika itu terus meminta suaminya supaya menceraikannya, namun lelaki itu tidak dapat menerima permintaan mangsa dan turut mengugut untuk merosakkan wajahnya.
Selepas itu, suspek datang ke rumah bapa mertuanya dengan membawa petrol dan kemudiannya menuang bahan bakar tersebut ke atas mangsa yang sedang berada di atas katil.
Suspek difahamkan terus menyalakan api sehingga berlakunya kebakaran hingga menyebabkan mangsa dan mertuanya terbakar.
Namun suspek terbabit yang turut terbakar sedikit sempat melarikan diri dari lokasi kejadian, namun akhirnya ditangkap polis tidak lama kemudian.
Mangsa dan ibu bapanya dikejarkan ke Hospital Besar Wilayah Koja untuk mendapatkan rawatan, manakala suspek pula dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Mangsa bersama ibu bapanya melecur dan kemudiannya diselamatkan oleh penduduk dan anggota polis Koja yang menerima laporan,” kata Yayan selepas dihubungi Kompas.com.
Baru-baru ini, mangsa dirawat di Hospital Cipto Mangunkusumo dengan kesan melecur di badan sehingga 90 peratus.
Yayan berkata motif suspek bertindak sedemikian adalah kerana tidak mahu menceraikan isterinya yang dipercayai menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
“Motifnya, suspek tidak mahu menceraikan isterinya yang sebelum ini telah menjadi mangsa keganasan rumah tangga ketika berada di Brebes yang merupakan tempat asal suspek,” kata Yayan.
Suspek disiasat mengikut Perkara 187 Kanun Jenayah (Indonesia) berkaitan jenayah yang membahayakan keselamatan awam.
Sumber: Kompas.com