Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

"Tidak, Terima Kasih," Greenland Tolak Kapal Hospital Trump
Denmark dan wilayah autonominya, Greenland menolak tawaran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menghantar kapal hospital tentera laut ke pulau Artik pada Sabtu lalu, lapor AFP.
Sehari sebelum itu, beliau menghantar sebuah kapal hospital yang hebat ke Greenland untuk menjaga ramai orang yang sakit dan tidak dijaga di sana.
Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen, bagaimanapun menulis di Facebook bahawa jawapan mereka adalah "tidak, terima kasih".
Beliau berkata, cadangan untuk menghantar kapal hospital AS diambil maklum, namun Greenland mempunyai sistem kesihatan awam yang menyediakan rawatan percuma kepada rakyatnya.
Menteri Pertahanan Denmark, Troels Lund Poulsen berkata penduduk Greenland mendapat layanan kesihatan yang diperlukan sama ada di Greenland sendiri atau, sekiranya perlukan rawatan khusus di Denmark.
Pada hari cadangan itu dikemukakan, pasukan Denmark memindahkan seorang kru kapal selam AS di luar pantai ibu kota Nuuk selepas kelasi tersebut memerlukan rawatan perubatan segera.
Komando Artik Bersama Denmark memaklumkan kru terbabit diterbangkan ke hospital di Nuuk berikutan kecemasan perubatan yang tidak diperincikan berlaku di atas kapal.
Di Greenland dan Denmark, rakyat mempunyai akses percuma kepada penjagaan kesihatan, dengan lima hospital wilayah beroperasi di pulau yang mempunyai populasi sekitar 57,000 orang itu.
Tanpa menyebut secara langsung cadangan AS, Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen berkata beliau berasa gembira tinggal di negara yang menyediakan akses kesihatan percuma dan sama rata, tanpa mengira status insurans atau kekayaan.
Sementara itu, Trump menyiarkan imej dijana oleh kecerdasan buatan (AI) kapal perubatan Tentera Laut AS, USNS Mercy di platform Truth Social.
Menurut AFP, beliau menjelaskan kapal itu sedang dalam perjalanan, tetapi tidak jelas sama ada ia dihantar ke Greenland.
Presiden AS itu sebelum ini berulang kali menyatakan bahawa AS mesti mengawal Greenland demi keselamatan negara dan ancaman untuk merampas wilayah itu reda selepas dicapai perjanjian rangka kerja bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte.