Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tidur Berdengkur? 8 Petanda Kesihatan Anda Sedang Terancam

Tidur Berdengkur? 8 Petanda Kesihatan Anda Sedang Terancam
Gambar AI

Tidur Berdengkur? 8 Petanda Kesihatan Anda Sedang Terancam

Tidur adalah asas penting untuk kesihatan fizikal dan mental tetapi bagi sesetengah individu, rutin tidur yang sepatutnya menenangkan boleh terganggu oleh satu tabiat yang sering dipandang remeh iaitu berdengkur. Bunyi dengkuran yang kuat bukan sahaja mengganggu pasangan atau ahli keluarga malah ia boleh menjadi isyarat awal bahawa tubuh anda sedang menghadapi masalah kesihatan yang lebih serius daripada yang disangka.

Apa yang kelihatan seperti masalah biasa ini sebenarnya boleh memberi kesan mendalam terhadap kualiti tidur, fungsi jantung, sistem pernafasan dan kesejahteraan mental anda. Lebih membimbangkan, dengkuran yang kerap berlaku ketika tidur bukan sekadar isu bunyi. Ia boleh menjadi petanda bahawa tubuh anda sedang mengalami tekanan pernafasan, gangguan tidur atau masalah jantung yang tidak disedari.

Dalam artikel ini, kami akan membongkar 8 petanda tidur berdengkur yang menunjukkan kesihatan anda mungkin sedang terancam lengkap dengan penerangan tentang risiko yang berkaitan dan kepentingan mengambil tindakan lebih awal. Dengan memahami tanda-tanda ini, anda boleh mula melindungi kesihatan dan kualiti tidur sebelum masalah menjadi lebih serius.

1. Gangguan tidur (Sleep Disruption)

Salah satu kesan paling jelas daripada tidur berdengkur adalah gangguan tidur itu sendiri. Saluran pernafasan yang sempit atau tersumbat menyebabkan individu kerap terjaga pada malam hari walaupun mereka mungkin tidak sedar akan kejadian ini.

Akibatnya, tidur menjadi tidak nyenyak dan tubuh tidak memperoleh rehat yang sebenar. Rasa penat, lesu dan kurang fokus adalah antara kesan langsung yang dirasai pada keesokan harinya. Gangguan tidur yang berterusan boleh menjejaskan prestasi harian, meningkatkan stres dan menimbulkan perasaan kecewa kerana tubuh gagal mendapatkan rehat yang secukupnya.

Dalam jangka panjang, kekurangan tidur yang berkualiti juga boleh menjejaskan sistem imun seterusnya menjadikan individu lebih mudah dijangkiti penyakit.

2. Apnea tidur obstruktif (Obstructive Sleep Apnea, OSA)

Bagi sesetengah penghidap, dengkuran yang kuat boleh menandakan masalah apnea tidur obstruktif. OSA berlaku apabila saluran pernafasan terhalang sepenuhnya untuk beberapa saat atau minit dan menyebabkan individu berhenti bernafas seketika semasa tidur.

Keadaan ini boleh berlaku berulang kali sepanjang malam tanpa disedari. Akibatnya, tubuh kekurangan oksigen dan keadaan ini boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi, penyakit jantung, strok dan diabetes jenis 2.

Keadaan ini lebih serius daripada sekadar dengkuran biasa kerana ia melibatkan gangguan sistem pernafasan yang kritikal. Individu yang menghidap OSA juga sering mengalami rasa mengantuk berlebihan pada siang hari, mudah marah dan kurang fokus.

3. Masalah jantung dan peredaran darah

Selain itu, kekurangan oksigen akibat dengkuran atau apnea tidur juga memberikan tekanan tambahan kepada jantung. Apabila jantung terpaksa bekerja lebih keras untuk mengepam darah, risiko mengalami aritmia atau degupan jantung tidak normal meningkat.

Dalam jangka masa panjang, tekanan ini boleh membawa kepada penyakit jantung kronik yang serius. Malah, kajian menunjukkan bahawa individu yang mengalami apnea tidur mempunyai risiko dua hingga tiga kali lebih tinggi untuk menghadapi serangan jantung atau strok berbanding mereka yang tidak berdengkur.

Ini menegaskan bahawa dengkuran bukan sekadar isu bunyi tetapi juga isu kesihatan jantung yang perlu diberi perhatian serius.

4. Masalah mental dan emosi

Tidur yang terganggu memberi kesan yang ketara terhadap kesihatan mental dan emosi. Individu yang kerap berdengkur cenderung mengalami perubahan mood, mudah marah, hilang fokus dan dalam beberapa kes, mereka berisiko menghadapi kemurungan.

Kekurangan tidur yang berkualiti mempengaruhi cara otak memproses emosi, memori dan keputusan sekali gus menjejaskan prestasi di tempat kerja atau di rumah.

Selain itu, rasa letih yang berterusan boleh mengurangkan motivasi. Ianya akan membuat individu tersebut sukar untuk menumpukan perhatian dan memberi kesan negatif terhadap kehidupan sosial. Malah, tekanan akibat tidur terganggu juga boleh menyumbang kepada ketegangan dalam hubungan peribadi.

5. Risiko terhadap hubungan sosial

Dengkuran bukan sahaja menjejaskan penghidapnya tetapi juga pasangan atau ahli keluarga yang tidur bersama. Bunyi dengkuran yang kuat boleh mengganggu tidur pasangan dan menyebabkan mereka turut mengalami masalah tidur dan rasa letih keesokan harinya.

Lama-kelamaan, gangguan ini boleh menimbulkan stres, ketidakselesaan dan konflik dalam rumah tangga. Dalam kes yang lebih serius, pasangan mungkin terpaksa tidur berasingan bagi mendapatkan tidur yang lebih baik yang secara tidak langsung boleh menjejaskan ikatan emosi dan keharmonian hubungan.

Oleh itu, menangani masalah dengkuran bukan sahaja penting untuk kesihatan fizikal penghidap tetapi juga untuk kesejahteraan emosi dan sosial.

6. Tercungap-cungap atau tersedak ketika tidur

Bagi sesetengah individu, dengkuran bukan sekadar bunyi tetapi disertai dengan pengalaman tercungap-cungap atau tersedak semasa tidur. Keadaan ini berlaku apabila saluran pernafasan tersumbat sepenuhnya dan menyebabkan penghidap terasa seolah-olah tidak dapat bernafas.

Tercungap-cungap yang berulang bukan sahaja menjejaskan kualiti tidur tetapi juga memberi amaran bahawa tubuh menghadapi tekanan pernafasan yang serius.

Penghidap yang mengalami gejala ini dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan doktor bagi menilai tahap kesihatan paru-paru dan jantung mereka.

7. Sakit tekak ketika bangun tidur

Getaran kuat yang dihasilkan oleh dengkuran juga boleh memberi tekanan pada tisu lembut di tekak yang akan menyebabkan tekak kering atau sakit apabila bangun tidur. Walaupun masalah ini nampak remeh, kesakitan berulang setiap pagi boleh menjejaskan mood, tenag, dan keselesaan harian.

Tekak yang sakit atau kering juga boleh membuatkan individu berisiko mengalami masalah suara atau batuk kronik jika dibiarkan tanpa rawatan.

Oleh itu, mengenal pasti punca dengkuran dan mengambil langkah pencegahan adalah penting untuk memastikan tidur yang lebih selesa dan sihat.

8. Sakit dada pada waktu malam

Salah satu risiko paling serius yang berkaitan dengan dengkuran adalah sakit dada ketika tidur. Kekurangan oksigen akibat saluran pernafasan tersumbat boleh menyebabkan degupan jantung tidak normal dan rasa sesak di dada. Gejala ini merupakan petanda awal masalah jantung dan peredaran darah yang tidak boleh diabaikan.

Sekiranya dibiarkan, ia boleh membawa kepada komplikasi serius seperti serangan jantung atau strok. Penghidap yang mengalami sakit dada pada waktu malam perlu segera mendapatkan pemeriksaan profesional bagi mengelakkan risiko kesihatan yang lebih besar.

Secara keseluruhan, tidur berdengkur bukan sekadar isu bunyi yang mengganggu tidur pasangan tetapi ia juga boleh menjadi indikator pelbagai masalah kesihatan serius termasuk gangguan jantung, pernafasan dan kesejahteraan mental.

Pengetahuan tentang risiko-risiko ini membolehkan langkah pencegahan atau rawatan diambil lebih awal sebelum komplikasi menjadi lebih teruk. Untuk mereka yang kerap berdengkur, perubahan gaya hidup seperti menurunkan berat badan, mengelakkan alkohol sebelum tidur, menukar posisi tidur dan memastikan saluran pernafasan bersih boleh membantu mengurangkan masalah ini.

Namun, jika dengkuran disertai gejala serius seperti tercungap-cungap, sakit dada atau sakit tekak yang berterusan, adalah amat penting untuk mendapatkan pemeriksaan doktor. Langkah ini membantu memastikan kesihatan jantung dan sistem pernafasan terpelihara serta meningkatkan kualiti hidup serta tidur yang lebih baik.