Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bilik Tidur Cantik Tapi Boleh Buat Anda Jatuh Sakit – Ini Faktanya

Bilik Tidur Cantik Tapi Boleh Buat Anda Jatuh Sakit – Ini Faktanya
Gambar AI

Bilik Tidur Cantik Tapi Boleh Buat Anda Jatuh Sakit – Ini Faktanya

Bilik tidur sering dianggap sebagai ruang paling selesa di dalam rumah. Ia merupakan tempat kita merehatkan tubuh selepas seharian bekerja, melepaskan penat dan mengumpul tenaga untuk hari esok.

Namun pernahkah terlintas di fikiran bahawa ruang yang kelihatan cantik dan kemas ini sebenarnya boleh menjadi punca anda kerap jatuh sakit?

Ada kalanya kita bangun pagi dengan rasa tidak segar, hidung tersumbat atau kepala terasa berat. Badan yang cepat letih pula mungkin bukan sekadar berpunca daripada kurang tidur semata-mata.

Ramai antara kita terlalu fokus menjaga pemakanan dan mengambil suplemen tetapi terlepas pandang satu perkara penting iaitu persekitaran tempat kita tidur setiap malam.

Melalui perkongsian di laman Facebook Public Health Malaysia, terdapat tujuh keadaan bilik tidur yang secara senyap boleh melemahkan sistem imun badan.

Kadangkala, musuh bukan berada di luar rumah tetapi tersembunyi di dalam ruang paling peribadi kita sendiri.

Sebelum menyalahkan faktor luar seperti cuaca atau rutin kerja yang padat, mungkin sudah tiba masanya kita memberi perhatian kepada ruang tempat kita berehat setiap malam.

Tanpa disedari, perubahan kecil di bilik tidur mampu membawa kesan besar kepada tubuh.

1. Kelembapan tersembunyi

Bilik yang kelihatan kemas tidak semestinya bebas masalah. Bau hapak yang samar, dinding terasa dingin atau sedikit lembap merupakan petunjuk awal kehadiran kulat yang sedang membiak di ruang tersembunyi.

Spora kulat ini mudah terhidu ketika kita tidur.

Pendedahan yang berulang setiap malam boleh mencetuskan pelbagai simptom seperti resdung kronik, batuk berpanjangan, sakit kepala serta rasa tidak selesa pada saluran pernafasan.

Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh melemahkan daya tahan badan kerana sistem imun sentiasa bekerja keras melawan iritasi yang berlaku secara berterusan.

Kadang-kadang kita mengabaikan simptom yang muncul setiap hari. Sedangkan tubuh sedang menjerit bahawa bilik tidur anda mungkin merosakkan kesihatan secara senyap.

2. Bantal lama, sarang hama

Selain itu, ramai tidak menyedari bahawa bantal yang digunakan bertahun-tahun tanpa cucian air panas atau penggantian berkala sebenarnya menjadi habitat ideal untuk hama habuk.

Organisma kecil ini bersama sisa buangannya merupakan antara pencetus utama alahan yang sering dipandang ringan.

Tidak hairanlah jika anda kerap bersin sebaik bangun tidur, mata terasa gatal atau hidung berair hampir setiap pagi.

Walaupun saiznya mikroskopik, kesannya terhadap kesihatan sangat besar. Terutamanya bagi mereka yang sensitif atau mempunyai sejarah masalah pernafasan.

Lebih membimbangkan, pendedahan jangka panjang boleh menyebabkan keradangan saluran hidung yang berulang dan menjejaskan kualiti tidur secara keseluruhan.

3. Pengudaraan lemah

Bilik tidur yang jarang dibuka tingkapnya menyebabkan udara lama terperangkap sepanjang malam.

Paras oksigen akan menurun manakala karbon dioksida meningkat hasil pernafasan kita sendiri lebih-lebih lagi jika bilik tertutup rapat.

Keadaan ini membuatkan otak tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi. Akibatnya, anda mungkin mengalami rasa pening, keletihan melampau dan fenomena brain fog apabila bangun pagi.

Tanpa aliran udara segar, badan gagal mendapat rehat berkualiti walaupun tempoh tidur mencukupi.

Lama-kelamaan, anda mungkin merasa cepat letih sepanjang hari dan sukar memberi tumpuan walaupun tidak melakukan kerja berat.

4. Kekusutan ruang

Antara lain, keadaan bilik yang penuh dengan barang dan tidak terurus bukan sekadar mencacatkan pandangan mata.

Dari sudut psikologi, persekitaran yang berserabut meningkatkan hormon stres secara senyap walaupun anda tidak menyedarinya.

Otak sukar untuk mematikan mod berjaga. Keadaan ini akan menyebabkan tidur terganggu dan tidak menyegarkan.

Akibatnya, badan tidak sempat melakukan proses pemulihan sel secara optimum dan anda bangun dengan rasa penat walaupun sudah tidur lama.

Ruang yang tenang sebenarnya membantu minda menjadi lebih lapang sekali gus menyokong kualiti tidur yang lebih baik.

5. Skrin telefon

Tabiat menatal telefon sebelum tidur juga menjadi rutin ramai orang hari ini. Ianya sama ada untuk membalas mesej atau sekadar melihat media sosial.

Namun cahaya biru daripada skrin gajet mengganggu penghasilan melatonin iaitu hormon yang membantu tubuh bersedia untuk tidur.

Otak menjadi keliru seolah-olah hari masih siang dan menyebabkan masa untuk terlelap menjadi lebih lama dan kualiti tidur merosot.

Dalam jangka panjang, gangguan ini boleh menjejaskan sistem imun kerana badan tidak mendapat fasa rehat yang diperlukan untuk memperbaiki diri.

Anda mungkin bangun dengan rasa tidak puas tidur walaupun telah berada di atas katil selama berjam-jam.

6. Lampu terlalu terang

Di samping itu juga, pemilihan pencahayaan juga memainkan peranan penting dalam kesihatan tidur.

Lampu putih terang atau cahaya cool daylight pada waktu malam boleh mengganggu ritma sirkadian semula jadi badan yang berfungsi sebagai jam dalaman manusia.

Akibatnya, isyarat rehat menjadi kabur dan badan sukar membezakan antara waktu bekerja dan waktu tidur.

Kesannya mungkin tidak dirasai serta-merta tetapi lama-kelamaan ia boleh menyebabkan gangguan tidur kronik, perubahan emosi dan penurunan tahap tenaga harian.

7. Bunyi halus

Bunyi kipas yang tidak stabil, deruan kenderaan dari luar atau dengkuran pasangan mungkin kelihatan remeh dan biasa didengar.

Namun bunyi berterusan ini akan menghalang otak daripada memasuki fasa tidur nyenyak yang penting untuk proses pemulihan sel dan pengukuhan memori.

Walaupun anda tidak terjaga sepenuhnya, kualiti tidur akan tetap terjejas. Ini akan menjadikan badan tidak benar-benar pulih keesokan harinya.

Lama-kelamaan, kekurangan tidur nyenyak ini boleh menyumbang kepada keletihan yang kronik.

Hakikatnya, bilik tidur yang sihat tidak memerlukan hiasan mewah atau perabot mahal. Apa yang lebih penting ialah persekitaran yang kering, bersih, tenang, gelap secukupnya dan mempunyai pengudaraan yang baik.

Dengan perubahan kecil seperti membuka tingkap setiap pagi, mengemas ruang tidur, menukar bantal secara berkala dan mengurangkan penggunaan gajet sebelum tidur, kesannya boleh dirasai dalam masa singkat.

Jangan biarkan ruang yang sepatutnya menjadi tempat memulihkan tenaga berubah menjadi sumber penyakit yang perlahan-lahan melemahkan tubuh.

Dengan sedikit perhatian terhadap keadaan bilik tidur, kita sebenarnya sedang melabur untuk kesihatan jangka panjang kerana kesejahteraan badan bermula dari saat mata terpejam setiap malam.