Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tiga Rakyat Malaysia Dipilih Terima Anugerah Pemimpin Muda QECT 2026
KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Tiga rakyat Malaysia dipilih untuk menerima Anugerah 100 Pemimpin Muda Tabung Amanah Komanwel Ratu Elizabeth II (QECT) 2026 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam impak sosial dan pembangunan komuniti.
QECT dalam kenyataan memaklumkan mereka yang terpilih menerima anugerah berprestij itu ialah Sarah Callista Ng Xue Qi, 19, dan Arissa Jemaima Ikram Ismail, 29, masing-masing dari Kuala Lumpur manakala Ho Wei Liang, 27, dari Johor Bahru.
Sarah, pengasas dan pengarah eksekutif Hope2Kids, telah menerajui pelbagai inisiatif untuk memberi inspirasi kepada kanak-kanak kurang bernasib baik, khususnya dari rumah kebajikan melalui program pembangunan diri dan kempen sukarelawan global.
Menurut kenyataan itu, usaha beliau termasuk inisiatif ‘Letters of Hope’ yang menggerakkan sukarelawan dari lebih 11 negara untuk menghantar mesej galakan peribadi kepada kanak-kanak, selain mengetuai platform kepimpinan belia dan sidang kemuncak akademik peringkat kebangsaan.
Sementara itu, Liam, seorang ahli teknologi serta pengasas dan pengarah eksekutif Tech4SDG, memberi tumpuan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi kelestarian alam sekitar dan memperluas akses pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan komuniti terpinggir.
Beliau telah membimbing lebih 1,200 belia dan menyelia lebih 80 projek teknikal, selain menyumbang kepada platform global berkaitan tadbir urus AI dan tindakan iklim, termasuk penglibatan bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Arissa Jemaima, pengasas dan pengarah eksekutif Doctors on Ground, pula menerajui inisiatif kesihatan komuniti untuk memperluas akses rawatan bagi golongan terpinggir kepada perkhidmatan kesihatan melalui model yang mampan dan berasaskan komuniti.
Sejak 2020, beliau mengetuai lebih 300 misi dan inisiatif, serta bekerjasama secara langsung dengan komuniti bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan jangka panjang.
Selain kerja akar umbi, beliau turut menyumbang kepada usaha tanggungjawab sosial korporat dalam sektor swasta sambil melanjutkan pengajian pascasiswazah dalam kesihatan awam global dan keadilan sosial.
Menurut kenyataan itu, QECT ditubuhkan oleh mendiang Ratu Elizabeth II bagi menyokong pemimpin muda di seluruh Komanwel.
Anugerah berkenaan memperingati ulang tahun ke-100 kelahiran mendiang dengan mengiktiraf golongan muda yang membawa perubahan dalam bidang pendidikan dan kebolehpasaran, alam sekitar, makanan dan pertanian, kesihatan serta keterangkuman.
Majlis penyampaian anugerah dijadualkan berlangsung di Istana St James di London, United Kingdom pada Jun 2026.