Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tiga Sekeluarga Maut Dirempuh Lori Imigresen Dipercayai Datang Bercuti Di KL

Lori Imigresen
ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa -- Kredit Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Tiga sekeluarga yang maut selepas dirempuh lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail di sini awal pagi tadi, dipercayai sedang bercuti di ibu negara.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata siasatan awal mendapati kesemua mangsa menetap di Kampar, Perak.

“Bagaimanapun tidak dipastikan sejak bila mereka berada di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata isteri kepada mangsa lelaki yang maut dalam kejadian itu kini berada di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan keadaannya kritikal.

Mohd Zamzuri berkata pihaknya kini dalam proses mendapatkan perintah reman terhadap pemandu lori JIM dan kereta Proton Saga yang terlibat dalam kemalangan itu.

Difahamkan, seorang lagi anak pasangan itu tidak turut serta dalam percutian ibu bapanya di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi, lori Isuzu ‘Black Maria’ JIM tanpa muatan dipercayai dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin sebelum memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah, dengan lampu suar (beacon) dan siren diaktifkan.

Pada masa sama, sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau dipercayai tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan lori berkenaan, menyebabkan lori hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kereta Inokom Matrix.

Tiga pejalan kaki iaitu lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya masing-masing berumur 25 dan 12 tahun maut di tempat kejadian, manakala isteri mangsa berusia 55 tahun cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Setakat 12 tengah hari, proses bedah siasat terhadap tiga mangsa yang maut masih dijalankan.

Difahamkan, keluarga terdekat mangsa sudah tiba di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), HKL tengah hari tadi.

Sumber:BERNAMA
Intipati
  • Tiga sekeluarga dari Kampar maut selepas dirempuh lori JIM di Jalan Sultan Ismail.
  • Isteri mangsa lelaki terselamat tetapi kritikal dan dirawat di Zon Merah HKL.
  • Lori JIM dipercayai bertembung dengan Proton Saga sebelum terbabas melanggar pejalan kaki.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan