Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi tiga tokoh ulama besar dunia Islam di Nasyrul Quran pada Rabu.
Tiga tokoh ulama dunia Islam
Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Anwar memaklumkan bahawa tokoh ulama hadis Mesir Al-Fadhil Al-Allamah Al-Muhaddith Syeikh Dr. Mustafa al-Nadwi Al-Hasani, Syeikh Qurra’ Dunia Al-Fadhil Al-Allamah Al-Muqri’ Syeikh Dr. Ahmad Isa Al-Ma’sarawy dan Grand Custodian bagi Wakaf Masjid dan Maqam Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, Al-Fadhil Al-Syeikh Maulana Al-Sayyid Afeefuddin Al-Jailani kini berada di Malaysia.


“Di celah kesibukan jadual harian, saya berkesempatan singgah ke Nasyrul Quran untuk menziarahi tiga tokoh ulama’ besar dunia Islam yang sedang berada di Malaysia.
“Kesempatan ini saya gunakan untuk bertanya khabar, memohon nasihat dan doa,” katanya.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan atas kesudian tiga ulama itu yang hadir berkongsi ilmu dan hikmah, di samping menyemarakkan syiar Islam di tanah air.


Beliau berharap agar kunjungan para ulama itu menjadi asbab bertambahnya ilmu, keberkatan dan kecintaan kepada agama.
Selain itu, kehadiran mereka diharap memperkukuh usaha Malaysia membina masyarakat yang berakhlak, berilmu dan hidup dalam keharmonian.

