Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tindakan Tegas Bakal Diambil Terhadap Pelajar Terlibat Buli – Fadhlina
KUALA LUMPUR — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pelajar yang terlibat dalam salah laku buli dan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang terlibat.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, sewaktu membuat lawatan ke Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) pada hari ini.
“Saya peringatkan kepada anak-anak SMAASZA, tiada kompromi terhadap salah laku buli.
“Kita memerangi buli habis-habisan dan tindakan tegas akan diambil ke atas sesiapa sahaja yang terlibat. #YouTouchYouGo,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengadakan kunjungan itu selepas terdapat isu berbangkit berkaitan bekalan air di SMAASZA yang menjejaskan anak-anak di Asrama Puteri.
“Saya minta isu ini mesti diselesaikan segera melalui peruntukan khas berjumlah RM200,000. Semoga ia dapat memberi lebih keselesaan kepada semua,” katanya.
Sementara itu, KPM dalam masa yang sama mengarahkan semua pengarah pendidikan negeri dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah secara mengejut, sebagai langkah memastikan gejala buli di sekolah dapat dibendung.
Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata malah pengarah dan pegawai berkenaan juga perlu turun ke sekolah berasrama pada waktu malam, bukan sahaja untuk memantau malah mendekati dan memahami kehidupan pelajar di asrama.
“Mungkin kita kena turun tanpa ada perancangan dan tanpa diberitahu. Kita turun ke sekolah, tengok keadaan sekolah, kita nak tengok nature sekolah itu macam apa berlaku. Kita mungkin turun malam nak tengok di asrama,” katanya.
Mohd Azam berkata kementerian juga mengarahkan pengetua dan guru besar mewajibkan laungan “Kami Benci Buli” sebelum dan selepas sesi persekolahan, sebagai peperangan terhadap gejala buli yang diperjuangkan KPM.
Beliau berkata laungan itu bertujuan menanamkan rasa benci akan gejala buli dalam minda dan diri pelajar serta murid.
Mohd Azam berkata pihaknya juga akan menambah baik ciri-ciri keselamatan di sekolah terutama sekolah asrama, bagi mengekang kejadian buli seperti penambahan kamera litar tertutup (CCTV) dan bilangan warden asrama
Sumber: Facebook Fadhlina Sidek