Tinggal Rumah Bertingkat Tapi Nak Berkebun? Ini Jenis Tanaman Cepat Tuai Untuk Ruang Terhad
Seiring dengan peredaran zaman, semakin ramai individu memilih untuk membeli rumah jenis kondominium atau pangsapuri.
Pilihan ini bukan sahaja menawarkan privasi yang lebih terjamin, malah memberikan pemiliknya ketenangan dan keselesaan dalam kehidupan seharian.
Namun begitu, terdapat satu kekurangan apabila memiliki rumah bertingkat, iaitu pemilik rumah biasanya menghadapi keterbatasan ruang untuk menanam pelbagai jenis tanaman atau menjalankan aktiviti bercucuk tanam.
Untuk pengetahuan, sebenarnya terdapat beberapa jenis tanaman yang boleh dituai dalam tempoh kurang daripada sebulan walaupun ditanam di ruang yang kecil.
Ikuti perkongsian oleh Jabatan Pertanian Malaysia di Facebook mengenai tanaman yang sesuai ditanam.
Jenis tanaman yang boleh dituai
Tahukah anda terdapat beberapa jenis tanaman yang boleh dituai dalam tempoh kurang daripada sebulan walaupun ditanam di ruang kecil seperti balkoni rumah?
Dengan pemilihan tanaman yang sesuai, kebun mini di rumah mampu menghasilkan sayuran segar untuk kegunaan harian keluarga.
Antara tanaman yang cepat matang dan sesuai ditanam di kawasan terhad ialah kangkung, yang boleh dituai dalam tempoh sekitar 20 hingga 25 hari selepas ditanam.
Kangkung sangat mudah diusahakan sama ada menggunakan pasu, polibeg atau sistem hidroponik dan boleh dituai beberapa kali jika dijaga dengan baik.
Selain itu, bayam juga merupakan pilihan popular kerana boleh dituai dalam tempoh 25 hingga 30 hari.
Tanaman ini sesuai ditanam dalam pasu kecil dan boleh dituai secara potong bagi membolehkan pertumbuhan semula daun.
Sawi pula biasanya boleh dituai dalam tempoh 30 hingga 35 hari, dan sesuai ditanam dalam polibeg atau sistem hidroponik dengan keperluan cahaya matahari yang mencukupi.
Tanaman lain yang juga sesuai untuk kebun kecil di rumah termasuk salad dan daun bawang, yang lazimnya boleh dituai dalam tempoh sekitar 30 hingga 40 hari.
Tanaman-tanaman ini memerlukan ruang akar yang minimum, mudah dijaga dan sesuai untuk aktiviti pertanian bandar berskala kecil.
Dengan penjagaan yang betul seperti memastikan tanaman menerima cahaya matahari yang mencukupi, menggunakan media tanaman yang sesuai serta penyiraman yang konsisten, kebun kecil di balkoni rumah mampu menghasilkan sayuran segar secara berterusan.
Untuk mengetahui jenis tanaman cepat matang yang sesuai ditanam di balkoni serta tempoh tuaian bagi setiap tanaman, rujuk infografik di bawah.


