Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seorang lelaki nyaris tersedut keluar melalui tingkap pesawat Ryanair selepas tingkap itu dilaporkan tertanggal ketika penerbangan menuju ke Jerman, lapor AFP.
Penumpang berkenaan yang dikenal pasti sebagai pelancong dari Serbia, menaiki penerbangan dari Thessaloniki, Greece ke Memmingen, Jerman.
Dia telah dimasukkan ke hospital hospital akibat melecur kerana geseran, namun dilaporkan berada dalam keadaan baik.
“Kebanyakan daripada kami sudah tertidur dan memejamkan mata. Tiba-tiba kedengaran bunyi seperti tayar meletup.
“Kami serta-merta sedar berlakunya kehilangan tekanan udara. Orang ramai menjerit dan seketika saya menyangka seseorang secara tidak sengaja membuka pintu kecemasan.
"Topeng oksigen terjatuh dan terdapat bau yang kuat. Kepala dan bahu seorang penumpang berada di luar tingkap. Mujur dia tidak menanggalkan tali pinggang keledar," kata seorang penumpang kepada Radio Thessaloniki.
Menurut wanita itu, beberapa penumpang yang berada berhampiran lelaki berkenaan kemudian membantu menariknya masuk semula ke dalam pesawat.

Sementara itu, media Greece melaporkan kejadian itu berlaku ketika pesawat berada di ruang udara Macedonia Utara.
Tingkap pesawat berkenaan dipercayai pecah selepas terkena serpihan daripada salah satu enjin, sebelum tertanggal dari kedudukannya.
Ryanair dalam satu kenyataan memaklumkan penerbangan itu kembali ke Thessaloniki tidak lama selepas berlepas.
“Pesawat mendarat seperti biasa dan semua penumpang kembali ke terminal,” menurut syarikat penerbangan itu.
Sebuah pesawat gantian kemudian disediakan untuk membawa penumpang lain meneruskan perjalanan ke Memmingen.