Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tourism Malaysia dan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) menjalin kerjasama strategik menerusi pelancaran Kempen “Jom Jalan MYDIN”, sebuah inisiatif khusus bagi merancakkan pelancongan domestik dengan menggabungkan elemen pengalaman beli-belah interaktif serta sokongan terhadap barangan tempatan.
Kempen yang dilancarkan selari dengan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) ini bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia meneroka keunikan destinasi tempatan, sambil menikmati ganjaran beli-belah yang menarik di cawangan MYDIN terpilih di seluruh negara.

YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menyifatkan kerjasama awam-swasta (public-private partnership) ini sebagai langkah proaktif yang menyokong aspirasi negara.
“Inisiatif seperti Kempen “Jom Jalan MYDIN” berupaya menyemarakkan lagi semangat Cuti-Cuti Malaysia dalam kalangan rakyat tempatan. Kerjasama ini menyokong persiapan VM2026 dengan memperkukuh pelancongan domestik melalui pengalaman beli-belah yang menghubungkan masyarakat secara terus dengan produk serta tarikan tempatan,” kata beliau.
Sementara itu, Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan MYDIN berkata, MYDIN melihat peranan pusat beli-belah hari ini bukan sekadar lokasi mendapatkan barangan keperluan, tetapi turut berfungsi sebagai platform yang menawarkan pengalaman unik kepada para pelanggan.

“MYDIN sentiasa komited dalam menyokong produk tempatan dengan menyediakan ruang kepada usahawan IKS dan PKS dari seluruh negara untuk memperkenalkan produk mereka. Menerusi kempen ini, kami berharap rakyat Malaysia dapat mengenali, menghargai, dan terus memilih barangan buatan Malaysia,” katanya.
Inisiatif ini selari dengan teras Tourism Malaysia dalam memperkasakan segmen pelancongan beli-belah (shopping tourism) yang merupakan antara penyumbang utama kepada pendapatan pelancongan domestik negara. Menerusi kerjasama ini, para pelawat bukan sahaja digalakkan melancong, malah disokong untuk meneroka dan membeli produk warisan tempatan dari pelbagai negeri di bawah satu bumbung.

Antara tarikan utama kempen termasuklah penganjuran aktiviti Treasure Hunt di cawangan MYDIN terpilih yang memberi peluang kepada para peserta menyelesaikan pelbagai cabaran sambil meneroka lokasi pelancongan menarik, sekali gus menjadikan pengalaman membeli-belah lebih interaktif di samping beramal kepada golongan yang memerlukan.
Di samping itu, kempen ini menawarkan pelbagai ganjaran menarik merangkumi pakej pelancongan domestik seperti pengalaman pelayaran kapal persiaran dan penginapan hotel tempatan tajaan Tabung Haji Travel. Menerusi sokongan rakan pembekal, pelbagai hadiah, baucar, serta penjimatan bernilai keseluruhan melebihi RM5 juta turut disediakan sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Sinergi antara Tourism Malaysia dan MYDIN ini mencerminkan komitmen berterusan dalam merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan yang melibatkan sektor peruncitan, penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, serta pembangunan komuniti usahawan tempatan sempena VM2026.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan